Jenazah Ibu Ida Nerina Selamat Dikebumikan di Bukit Kiara

KUALA LUMPUR – Jenazah ibu kepada pelakon Ida Nerina, iaitu Marina Md Yusoff, 84, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pada jam 11 pagi tadi.

Pengebumian Allahyarham yang juga bekas ahli politik dan usahawan itu berlangsung dalam suasana tenang dengan kehadiran kira-kira 100 orang terdiri daripada ahli keluarga, kenalan rapat serta beberapa individu kenamaan yang hadir memberi penghormatan terakhir.

Terdahulu, jenazah Allahyarham diuruskan dan disolatkan di Masjid Umar Al-Khattab sebelum selesai sekitar jam 10.15 pagi. Jenazah kemudian dibawa ke tanah perkuburan dengan menaiki van jenazah untuk urusan pengebumian.

Antara tokoh yang hadir ialah Nazir Razak, adik kepada bekas Perdana Menteri Najib Razak, serta bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Syed Hamid Albar.

Turut hadir memberikan sokongan moral kepada Ida ialah rakan artis termasuk Hairul Azreen dan Vanidah Imran.

Allahyarham Marina dilaporkan meninggal dunia akibat sakit tua pada jam 5.16 petang semalam di sebuah hospital swasta di ibu negara.

Sepanjang kerjaya politiknya, beliau pernah memegang jawatan Timbalan Presiden Wanita UMNO dari 1972 hingga 1974. Marina juga pernah menjadi Naib Presiden Parti Keadilan Nasional yang kemudiannya bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia pada 2003 bagi membentuk Parti Keadilan Rakyat.

Beliau bagaimanapun meletakkan jawatan daripada jawatan tersebut pada tahun 2000 atas faktor kesihatan dan bagi memberi tumpuan kepada bidang pembangunan hartanah.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *