MOSCOW: United Kingdom (UK) sedang membuat persiapan untuk memindahkan sekurang-kurangnya 94,000 rakyat negara itu dari Asia Barat yang telah mendaftarkan butiran mereka dengan Pejabat Luar Negara, ketika suasana ketegangan meningkat di rantau itu, lapor Sputnik/RIA Novosti, memetik Daily Mail.
Ia menekankan bahawa sebahagian besar warga British di rantau itu ialah pelancong, sama ada yang bercuti di Asia Barat atau dalam perjalanan ke wilayah lain.
Akhbar itu menyatakan operasi berskala besar itu, yang tidak pernah berlaku sebelum ini, diketuai Setiausaha Luar Negara, Yvette Cooper.
Daily Mail melaporkan bahawa pihak berkuasa British sedang berunding dengan syarikat penerbangan Arab utama untuk mendapatkan kerjasama mereka.
Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan beberapa siri serangan pada Sabtu ke atas beberapa sasaran di Iran, termasuk Tehran, mengakibatkan kemusnahan dan kematian orang awam.
Iran melancarkan serangan peluru berpandu balas terhadap wilayah Israel, serta ke atas kemudahan tentera AS di Asia Barat.
Serangan terhadap Iran berlaku walaupun Oman mengusahakan perbincangan antara Washington dan Tehran mengenai isu nuklear Iran minggu ini di Geneva. – BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI
Facebook: Nasional Daily
TikTok: Nasional Daily
Iklan: Admin / Sales / 012-9222001
Whatsapp: Nasional Daily