KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli memaklumkan, beliau telah mengemukakan jawapan rasmi surat tunjuk sebab yang dikeluarkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kepadanya.
Dalam kenyataan bertarikh semalam (28 Feb 2026), yang dimuat naik menerusi akaun Facebooknya, bekas Timbalan Presiden PKR itu menjelaskan, temu ramahnya bersama sebuah akhbar berbahasa Cina sebelum ini telah disalah tafsir.
Menurutnya, kenyataan tersebut jelas dan boleh difahami sekiranya diteliti dengan penguasaan bahasa Melayu yang baik.
Beliau menegaskan, akan terus kekal sebagai ahli PKR serta menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Pandan sehingga Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-16 Malaysia (PRU16).
Rafizi turut menyatakan, selepas pembubaran Parlimen, beliau berhak menentukan hala tuju politiknya sendiri dan tidak lagi tertakluk kepada peruntukan undang-undang berkaitan pertukaran parti di pertengahan penggal.
“Jika difahami secara waras, kenyataan itu tidak memerlukan tafsiran yang rumit seperti digambarkan dalam surat tunjuk sebab tersebut,” katanya.
Surat tunjuk sebab itu dipercayai berkaitan dengan kenyataannya sebelum ini yang menyatakan hasrat untuk bertanding pada PRU16 bukan atas tiket PKR.
Kenyataan itu mencetuskan persoalan mengenai kesetiaannya terhadap parti.
Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh sebelum ini dilaporkan berkata, tindakan itu menimbulkan persepsi bahawa Rafizi sudah hilang keyakinan terhadap parti.
Beliau turut memaklumkan, Rafizi diberi tempoh sehingga semalam untuk menjelaskan pendiriannya.
Mengulas lanjut, Rafizi berpandangan kandungan surat tersebut seolah cuba mentafsirkan kenyataannya sebagai pengisytiharan keluar parti, sekali gus memberi implikasi terhadap kedudukannya sebagai Ahli Parlimen.
Beliau menyifatkan tafsiran sedemikian boleh membawa kepada anggapan kerusi Parlimen Pandan perlu dikosongkan, sesuatu yang ditegaskannya tidak pernah diisytiharkan secara rasmi.
Isu berkenaan terus menjadi perhatian susulan perkembangan dalaman PKR menjelang PRU16.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L