KOTA KINABALU – Keadaan cuaca hujan terus-menerus sejak semalam menyebabkan daerah Tenom kini turut dilanda banjir, sekali gus menjadikan enam daerah di Sabah terkesan setakat jam 8 malam tadi.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, operasi memindahkan penduduk yang terjejas ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Tenom sedang dilaksanakan secara berperingkat.
Walaupun sebuah lagi daerah dilaporkan terjejas, jumlah keseluruhan mangsa yang ditempatkan di PPS menunjukkan penurunan.
Seramai 1,564 individu masih berada di 11 PPS di seluruh negeri, berbanding 2,616 orang pada petang sebelumnya.
Pengurangan itu susulan sebahagian besar mangsa di Pitas dibenarkan pulang selepas keadaan banjir beransur pulih. Daripada 1,777 orang yang ditempatkan di lima PPS di daerah berkenaan sebelum ini, hanya 527 mangsa masih kekal berlindung.
Di daerah lain, jumlah mangsa yang direkodkan ialah 79 orang di Sook, 352 orang di Sipitang, 395 orang di Beaufort dan 211 orang di Membakut.
Secara keseluruhan, 140 kampung di enam daerah terbabit dikenal pasti terjejas akibat banjir yang melanda negeri itu.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L