‘He go or we go’ – Desakan supaya Azam Baki digantung tugas kian memuncak

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini hangat dengan desakan agar kerajaan segera mengambil tindakan tegas terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki susulan pendedahan terbaharu media mengenai isu pemilikan sahamnya.

Ahli Parlimen PH Kota Melaka, Khoo Poay Tiong memberi amaran, kegagalan kerajaan bertindak boleh menyebabkan rakyat dan pengundi hilang kepercayaan terhadap pentadbiran sedia ada.

Menegaskan kepentingan integriti, pemimpin DAP itu berkata, ini merupakan kali kedua isu pemilikan saham melibatkan Azam dibongkarkan, sekali gus menuntut satu tindakan drastik diambil.

“Azam Baki perlu letak jawatan. He has to go. Either he has to go or we have to go (Dia kena pergi atau kita yang perlu pergi). He go or we go (Dia pergi atau kita yang pergi). Itu adalah pesanan saya.

“Kerana sekiranya kita membenarkan beliau terus memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM, pilihan raya akan datang pengundi akan hukum kita.

‘Masa bahas saya (sudah) tamat, tapi jangan tempoh kita jadi kerajaan tamat selepas pilihan raya akan datang,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini ketika membahaskan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum itu, dia turut mencadangkan kerajaan supaya menubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja (RCI) menyiasat laporan yang membabitkan Azam untuk membersihkan nama SPRM.

Minggu lalu, Bloomberg dan Malaysiakini secara berasingan melaporkan, Azam memiliki pegangan saham yang besar dalam dua syarikat yang dilihat melebihi had dibenarkan kepada penjawat awam.

Rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan Azam pada satu ketika memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Berhad dan 4.52 juta saham dalam Awanbiru Technology Berhad.

Saham Velocity Capital Partner dipercayai dibeli sekitar RM1.5 juta, manakala saham Awanbiru dianggarkan bernilai antara RM1.24 juta hingga RM1.38 juta pada satu ketika.

Walaupun urus niaga saham oleh penjawat awam tidak menyalahi undang-undang, Pekeliling Tatakelakuan dan Pengurusan Tatatertib Pegawai Awam 2024 menetapkan penjawat awam tidak dibenarkan membeli saham melebihi lima peratus daripada modal berbayar atau bernilai lebih RM100,000 pada nilai semasa.

Namun, Azam menegaskan pegangan sahamnya tidak melibatkan modal berbayar, sebaliknya diperoleh melalui pembelian di pasaran terbuka.

Mengulas lanjut, Khoo berkata, ini bukan kali pertama Azam melakukan kesalahan seumpama itu.

“Pada tahun 2022, Ketua Pesuruhjaya SPRM pada ketika itu juga memiliki saham lebih daripada yang dibenarkan.

“Ini merupakan kali kedua dibongkarkan. Jadi saya minta supaya kerajaan mengambil tindakan yang tegas,” katannya.

Awang Hashim (PN-Pendang) kemudian tampil bangkit dan mencelah.

“Buat pertama kali saya menyokong Kota Melaka untuk menubuhkan RCI. Whether you go or we go. You go or we go. Saya sokong,” katanya.

Sebelum ini, lapan Ahli Parlimen PKR turut mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menggantung tugas Azam bagi membolehkan siasatan bebas dijalankan.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang mewakili kumpulan tersebut menegaskan Pakatan Harapan (PH) dan Anwar tidak seharusnya menanggung risiko dihukum oleh rakyat berpunca daripada tuduhan yang membabitkan seorang penjawat awam.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *