KUALA LUMPUR – Kemelut dalaman Parti Bersatu semakin meruncing apabila akaun Facebook rasmi parti itu memaparkan mesej terbuka mendesak Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur dari tampuk kepimpinan.
Paparan tersebut yang dimuat naik lewat malam tadi memperlihatkan gambar Muhyiddin disertakan dengan frasa tegas “Undur Muhyiddin”, selain status berbunyi “Masanya sudah tiba”.
Perubahan drastik pada akaun rasmi parti itu mengundang pelbagai spekulasi dan reaksi dalam kalangan ahli serta pemerhati politik, sekali gus mencerminkan ketegangan dalaman yang semakin ketara.
Setakat ini, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pucuk pimpinan parti berhubung perubahan paparan berkenaan.
Tindakan itu bagaimanapun, mencetuskan persoalan sama ada wujud perpecahan serius dalam kalangan kepimpinan tertinggi parti atau kemungkinan berlaku unsur sabotaj terhadap platform media sosial rasmi parti.
Sumber dalaman memaklumkan, Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dijadualkan berlangsung jam 10 pagi ini di kediaman Muhyiddin.
Mesyuarat itu dijangka menjadi medan penting bagi membincangkan perkembangan terkini serta menentukan hala tuju kepimpinan parti dalam menghadapi kemelut yang semakin memuncak.
Krisis dalaman Bersatu sebelum ini turut menyaksikan tindakan disiplin tegas apabila seramai 17 ahli parti dipecat oleh Lembaga Disiplin setakat hari ini.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Mereka yang dikenakan tindakan termasuk empat Ahli Parlimen serta dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), satu langkah yang dilihat memperlihatkan ketegasan kepimpinan dalam menangani isu kesetiaan dan disiplin parti.
Pemerhati politik berpandangan situasi ini berpotensi memberi kesan besar terhadap kestabilan parti, khususnya dalam menghadapi landskap politik semasa yang semakin mencabar.
Desakan terbuka terhadap presiden parti melalui saluran rasmi turut dianggap sebagai perkembangan luar biasa yang jarang berlaku dalam mana-mana parti politik arus perdana.
Sehingga kini, tumpuan terarah kepada keputusan yang bakal dicapai dalam mesyuarat khas tersebut, sama ada ia mampu meredakan ketegangan dalaman atau sebaliknya mencetuskan episod baharu dalam krisis kepimpinan Bersatu.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
