Azam Baki Sedia Disiasat

KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menyatakan kesediaan dan keterbukaannya untuk disiasat oleh mana-mana jawatankuasa bebas yang ditubuhkan kerajaan berhubung isu pemilikan saham yang dikaitkan dengannya.

Dalam kenyataan kepada media hari ini, beliau menegaskan tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan, selain memaklumkan semua pengisytiharan kewangan serta harta miliknya telah dibuat mengikut peraturan perkhidmatan awam melalui saluran rasmi seperti diwajibkan kepada setiap penjawat awam.

“Saya mengalu-alukan sebarang proses yang telus, bebas dan objektif bagi menentukan fakta berasaskan bukti serta mengikut prinsip keadilan dan keluhuran undang-undang,” katanya.

Menurut Azam, pendekatan tersebut penting bukan sahaja bagi mempertahankan integriti peribadi, malah untuk memastikan keyakinan rakyat terhadap SPRM sebagai institusi pencegahan rasuah kekal kukuh.

Beliau turut menegaskan, mana-mana individu yang berdepan dakwaan sewajarnya bersikap terbuka serta bersedia untuk disiasat secara bebas dan telus.

“Prinsip ini harus terpakai kepada semua tanpa pengecualian. Budaya akauntabiliti tidak boleh bersifat terpilih atau bermusim,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Azam menjelaskan SPRM sentiasa meneliti setiap laporan atau aduan yang diterima daripada mana-mana pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), berdasarkan undang-undang serta fakta yang diperoleh melalui proses siasatan yang sah.

“Tiada siapa berada di atas undang-undang dan tiada siapa juga yang harus dihukum melalui persepsi atau naratif media semata-mata,” ujarnya.

Beliau berkata, dirinya kekal komited terhadap prinsip ketelusan, akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang sepanjang perkhidmatannya, serta memberi jaminan akan memberikan kerjasama penuh kepada mana-mana mekanisme sah yang ditubuhkan kerajaan bagi menyemak isu berkenaan.

“Saya yakin kebenaran akan dapat ditegakkan melalui suatu proses yang adil dan bebas,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *