Letupan kuat dilaporkan di Bandar Abbas, cetus kebimbangan keselamatan di pelabuhan strategik Iran

TEHRAN – Satu letupan kuat dilaporkan berlaku di bandar pelabuhan strategik bandar Abbas di selatan Iran semalam, sehingga mencetuskan kebimbangan mengenai tahap keselamatan di kawasan berkenaan.

Agensi berita antarabangsa, Reuters turut melaporkan letupan berkenaan, lapor media tempatan tanpa mendedahkan punca kejadian.

​Agensi berita separa rasmi, Tasnim menyatakan laporan di media sosial yang mendakwa seorang komander tentera laut Pengawal Revolusi Iran (IRGC) menjadi sasaran dalam letupan itu adalah palsu.

Menurut laporan media tempatan, letupan itu dikesan di sebuah bangunan lapan tingkat yang terletak di kawasan Boulevard Moallem.

Impak letupan itu dilaporkan sangat kuat sehingga memusnahkan dua tingkat bangunan berkenaan, selain merosakkan beberapa kenderaan dan premis perniagaan yang berada di kawasan berhampiran.

Pasukan penyelamat dan unit bomba telah dikerahkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat serta mengawal keadaan.

Setakat ini, pihak berkuasa Iran belum mendedahkan jumlah mangsa yang terbabit atau memberikan sebarang penjelasan mengenai punca sebenar kejadian yang berlaku di kota pelabuhan Teluk itu.

Insiden ini turut mencetuskan pelbagai spekulasi di media sosial, termasuk dakwaan bahawa letupan itu merupakan satu cubaan serangan yang menyasarkan komander tentera laut IRGC.

Bandar Abbas merupakan antara lokasi paling penting bagi ekonomi dan ketenteraan Iran kerana kedudukannya yang berhampiran dengan Selat Hormuz, iaitu laluan utama bagi perdagangan minyak dunia.

Sebarang kejadian luar jangka di kawasan ini sering mendapat perhatian antarabangsa memandangkan kedudukannya yang sangat strategik.

Pihak berkuasa keselamatan Iran dilaporkan masih menjalankan siasatan rapi di lokasi kejadian untuk menentukan sama ada letupan itu berpunca daripada kegagalan teknikal, kebocoran gas, atau terdapat unsur sabotaj.

Setakat ini, suasana di sekitar bandar pelabuhan itu dilaporkan terkawal namun berada dalam keadaan berjaga-jaga. – Agensi

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *