Bersatu di Selangor bergelut cari arah selepas berdepan tekanan dalaman berpanjangan

Dari Meja Editorial

SEJAK beberapa hari kebelakangan ini, suasana politik di Selangor kembali berombak dengan kemunculan desas-desus kononnya beberapa pemimpin parti Bersatu di negeri itu dikatakan sedang mempertimbangkan untuk menyertai parti DAP.

Walaupun sehingga kini tiada pengesahan rasmi dibuat dan identiti individu yang terlibat masih menjadi tanda tanya, khabar angin ini tetap mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan pemerhati politik dan rakyat biasa.

Hakikat desas-desus ini tersebar luas sudah cukup untuk menunjukkan adanya keresahan dan ketidaktentuan dalam politik pasca pilihan raya.

Bersatu, khususnya di Selangor, dilihat masih bergelut mencari arah selepas gagal menawan kerajaan negeri dan berdepan tekanan dalaman serta luaran yang berpanjangan.

Dalam keadaan sebegini, sebarang khabar mengenai perpindahan sokongan atau keahlian mudah mendapat perhatian, apatah lagi apabila melibatkan parti yang secara tradisinya dianggap berada di sisi berbeza spektrum politik seperti DAP.

Menariknya, walaupun perkara itu masih bersifat spekulasi, pimpinan DAP sendiri tidak mengambil sikap berdiam diri, apabila Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaannya, Hannah Yeoh tampil memberikan peringatan kepada mana-mana individu yang berminat menyertai parti itu perlu melalui prosedur dan saluran rasmi ditetapkan.

Kenyataan itu, meskipun bersifat umum dan berprinsip, membawa isyarat DAP mahu mengawal keadaan daripada terus berkembang menjadi persepsi parti itu bersedia menerima sesiapa sahaja tanpa tapisan.

Hannah yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) menegaskan, setiap parti politik mempunyai proses pendaftaran keahlian tersendiri dan sesiapa yang berminat perlu memohon secara rasmi. Penekanan terhadap borang keahlian dan urus setia parti seolah mahu menutup ruang kepada tanggapan bahawa rundingan politik di belakang tabir boleh terus diterjemahkan sebagai jaminan kemasukan ke dalam parti.

Sebelum itu, laporan mengenai pertemuan beberapa pimpinan Bersatu Selangor dengan Pengerusi DAP Cawangan Wangsa Permai Kepong, Muhammad Najmi Samsudin, telah menambah bahan api kepada spekulasi yang sedia panas.

Muhammad Najmi melalui hantaran di media sosial menyatakan keterbukaan menerima penyertaan mana-mana pihak, asalkan ia dibuat secara ikhlas dan dengan kefahaman yang jelas mengenai hala tuju parti.

Kenyataan ini pula membuka dimensi baharu kepada perbincangan awam, kerana ia memberi gambaran sekurang-kurangnya di peringkat tertentu, sudah wujud dialog dan interaksi politik.

Namun, persoalan yang lebih besar bukan sekadar soal prosedur atau pertemuan di peringkat cawangan. Persoalan sebenar yang bermain di fikiran rakyat ialah mengapa DAP menjadi pilihan.

Ini kerana secara realitinya, politik Melayu di Malaysia tidak pernah kekurangan parti. Malah, spektrumnya luas dan berlapis. PAS menawarkan perjuangan berteraskan Islam, UMNO dengan sejarah panjang nasionalisme Melayu, PKR dengan pendekatan pelbagai kaum, tetapi kuat akar Melayunya, Amanah dengan wajah Islam progresif, Pejuang dengan naratif nasionalisme baharu, PUTRA sebagai gabungan parti Melayu, IKATAN dengan mesej kesederhanaan, dan beberapa lagi entiti politik yang membawa agenda masing-masing.

Dengan begitu banyak pilihan yang secara zahirnya lebih dekat dengan sentimen dan identiti Melayu, pemilihan DAP oleh mana-mana pemimpin Melayu pastinya mengundang tanda tanya.

DAP, walaupun sering menegaskan dirinya sebagai parti pelbagai kaum, masih dilihat oleh sebahagian besar masyarakat sebagai parti yang majoritinya diwakili oleh kaum Cina, malah sering disebut sebagai parti kaum Cina terbesar selepas MCA.

Persepsi ini, sama ada tepat atau tidak, telah lama berakar dalam wacana politik Melayu dan tidak mudah dipadam hanya dengan kenyataan rasmi. Di sinilah timbul persoalan sama ada penyertaan orang Melayu ke dalam DAP didorong oleh pencarian ketenangan dalam politik atau sebaliknya.

Ketenangan yang dimaksudkan bukanlah ketenangan ideologi atau prinsip, tetapi mungkin ketenangan daripada konflik dalaman parti, perebutan jawatan, tekanan akar umbi dan ketidaktentuan masa depan politik.

Dalam landskap politik yang semakin keras dan tidak menentu, kestabilan sering menjadi komoditi yang sangat bernilai. Namun, pada masa sama, suara sinikal dalam kalangan rakyat tidak boleh diketepikan. Bagi mereka, sukar untuk tidak mempersoalkan sama ada wujud “udang di sebalik batu”.

Politik Malaysia sudah terlalu biasa dengan episod lompat parti, rundingan senyap dan keputusan mengejut yang akhirnya didedahkan berpaksikan kepentingan peribadi.

Persepsi bahawa DAP mempunyai agenda tertentu yang hanya difahami oleh kalangan dalamannya pula terus menyuburkan rasa curiga ini, walaupun ia sering dinafikan oleh pimpinan parti berkenaan.

Sebahagian rakyat juga berpendapat, DAP bukan sebuah parti yang benar-benar menumpukan kepada isu rakyat secara menyeluruh, sebaliknya lebih cenderung memperjuangkan kepentingan kelompok tertentu.

Maka, apabila ada pemimpin Melayu yang memilih untuk menyertai DAP berbanding parti Melayu lain, langkah itu mudah ditafsir sebagai strategi kelangsungan politik, bukan manifestasi perubahan prinsip.

Fenomena ini mencerminkan dilema yang lebih besar dalam politik Melayu hari ini. Perpecahan undi, pertindihan agenda dan kegagalan membina kesatuan menyebabkan sebahagian pemimpin memilih jalan yang dianggap lebih selamat dan terjamin.

Namun, persoalannya sejauh mana langkah sedemikian benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan bukan sekadar menyelamatkan karier individu tertentu.

Dalam politik yang matang, perubahan sokongan dan penyertaan parti seharusnya disertai dengan penjelasan yang jujur dan terbuka. Rakyat berhak tahu apa yang ditolak, apa yang diterima, dan apa yang akan diperjuangkan selepas perubahan itu berlaku.

Tanpa penjelasan tersebut, setiap langkah akan terus dibaca sebagai keputusan taktikal yang kosong daripada nilai. Akhirnya, isu ini bukan sekadar mengenai Bersatu atau DAP. Ia mengenai keletihan rakyat terhadap politik yang semakin jauh daripada prinsip dan semakin dekat dengan percaturan kuasa.

Rakyat hari ini tidak lagi naif. Mereka mungkin boleh menerima kekalahan, perubahan dan kompromi, tetapi sukar untuk menerima keputusan yang dibuat tanpa kejujuran.

Selagi persoalan mengapa DAP dipilih berbanding PAS, UMNO, PKR, Amanah, Pejuang, PUTRA atau IKATAN tidak dijawab dengan berani dan telus, selagi itulah desas-desus ini akan terus dilihat bukan sebagai langkah idealisme, tetapi sebagai satu lagi episod politik yang sarat dengan persoalan dan kecurigaan. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *