KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak disenaraikan sebagai hadir ke mesyuarat luar biasa Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) Khamis ini susulan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN yang berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Perkara ini dijelaskan Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang dilaporkan berkata, berdasarkan pandangan undang-undang yang diterima, peletakan jawatan Ahli Parlimen Pagoh itu sudah berkuat kuasa, menyebabkan hanya ahli Majlis Tertinggi PN yang masih memegang jawatan dipanggil menghadiri mesyuarat berkenaan.
Menurut beliau, beberapa pemimpin lain yang turut meletakkan jawatan sebelum ini, termasuk Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Penerangan PN, Datuk Dr. Mohd Radzi Jidin juga tidak disenaraikan sebagai hadir.
Bagaimanapun, Takiyuddin berkata, peletakan jawatan Muhyiddin tetap perlu dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi PN untuk dibincangkan dan diputuskan sama ada diluluskan atau sebaliknya.
Beliau turut memaklumkan, Muhyiddin telah menghantar surat bertarikh 30 Disember 2025 kepada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bagi memaklumkan peletakan jawatan tersebut.
Menurut Takiyuddin, mesyuarat luar biasa itu dijangka menumpukan kepada tiga agenda utama iaitu memilih pengerusi mesyuarat, memutuskan peletakan jawatan Muhyiddin serta melantik Pengerusi PN yang baharu. Jika peletakan jawatan itu ditolak, katanya, Muhyiddin perlu meneruskan tugas sebagai Pengerusi PN.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
