Badan Kehakiman Tubuh Mahkamah Tinggi Khas Rasuah, Percepat Penyelesaian Kes Berprofil Tinggi

KUALA LUMPUR – Badan Kehakiman Malaysia mengambil langkah proaktif menubuhkan Mahkamah Tinggi Khas bagi mendengar perbicaraan kes rasuah, termasuk kes rayuan dari Mahkamah Sesyen Khas Rasuah ke arah usaha mempercepatkan penyelesaian kes serta memperkukuh integriti sistem kehakiman.

Menurut kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, penubuhan mahkamah khas itu untuk memastikan pengendalian kes rasuah dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, sistematik dan berkesan, sejajar keperluan mendesak menangani isu rasuah secara tegas dan menyeluruh.

“Inisiatif penubuhan Mahkamah Tinggi Khas ini akan dimulakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebagai langkah awal sebelum diperluaskan ke lokasi lain bersesuaian,” menurut kenyataan itu.

Langkah itu diambil susulan rundingan antara Hakim Besar Malaya dan Ketua Hakim Negara bagi menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen Ke-15, semalam.

Dalam titah baginda, Seri Paduka Baginda menzahirkan penekanan terhadap keperluan menyediakan hakim berpengalaman dan berkelayakan untuk mengendalikan kes rasuah.

Selain itu, baginda turut menekankan kepentingan mewujudkan laluan khas di mahkamah bagi memastikan perbicaraan kes rasuah dapat diselesaikan dalam tempoh lebih singkat tanpa menjejaskan prinsip keadilan.

Kenyataan itu turut memaklumkan sehingga kini, sebanyak 14 Mahkamah Sesyen Khas Rasuah telah ditubuhkan di seluruh negara dengan matlamat utama untuk menyelesaikan kes rasuah dalam tempoh satu tahun dari tarikh pendaftaran kes.

“Bagi menjunjung titah Seri Paduka Baginda, Hakim Besar Malaya, setelah berunding dengan Ketua Hakim Negara, bersetuju agar Badan Kehakiman Malaysia mengambil inisiatif menubuhkan Mahkamah Tinggi Khas bagi mendengar perbicaraan kes rasuah, termasuk kes rayuan dari Mahkamah Sesyen Khas Rasuah,” menurut kenyataan itu lagi.

Penubuhan Mahkamah Tinggi Khas itu dilihat sebagai satu langkah penting dalam memperkukuh keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman negara, di samping memastikan usaha membanteras rasuah dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, telus dan berintegriti.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *