Rumah Bangsa UMNO: Manifestasi Panik Politik Zahid dan Kegagalan UMNO Memimpin Melayu

PUTRAJAYA – Sekretariat Orang Melayu menyifatkan gagasan Rumah Bangsa UMNO yang diketengahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai manifestasi panik politik dan bukti kegagalan berterusan parti itu dalam memimpin serta menyatukan orang Melayu.

Ketua Setiausahanya, Datuk Wira Marzuki Yahya berkata, usaha Ahmad Zahid memperkenalkan konsep tersebut sebagai alternatif kepada gagasan Payung Besar Melayu bukan sahaja cetek dari segi idea, malah mencerminkan kegusaran kepimpinan UMNO terhadap kebangkitan kesedaran politik Melayu di luar kerangka parti itu.

Menurut beliau, Ahmad Zahid dilihat sudah kehabisan modal politik apabila Payung Besar Melayu mula mendapat perhatian dan sokongan sebagai platform penyatuan Melayu merentas parti.

“Apabila gagasan Payung Besar Melayu mula mencetuskan kesedaran penyatuan Melayu tidak lagi boleh dimonopoli oleh UMNO, Ahmad Zahid segera tampil dengan naratif baharu bahawa UMNO adalah ‘rumah asal’ orang Melayu. Ini bukan kepimpinan berwawasan, tetapi politik reaktif yang lahir daripada ketakutan,” katanya.

Marzuki turut mempersoalkan dakwaan Ahmad Zahid, kononnya UMNO merupakan rumah yang kukuh untuk orang Melayu, sedangkan sokongan terhadap parti itu semakin merosot.

“Jika benar UMNO adalah rumah orang Melayu, mengapa sekitar 28 peratus sahaja yang masih tinggal di dalam rumah tersebut? Ke mana perginya yang lain, dan mengapa Ahmad Zahid terus menutup mata terhadap realiti ini?” soal beliau.

Beliau menegaskan, kekalahan UMNO dalam beberapa siri pilihan raya serta kebergantungan parti itu kepada rakan gabungan untuk terus berkuasa membuktikan dakwaan Ahmad Zahid tidak selari dengan realiti politik semasa.

“Rumah yang kukuh tidak ditinggalkan penghuninya. Rumah yang selamat tidak runtuh akibat angkara pemimpinnya sendiri,” katanya lagi.

Mengulas kenyataan Ahmad Zahid yang mendakwa Payung Besar Melayu gagal, Marzuki berkata, kewujudan gagasan itu sebenarnya berpunca daripada kegagalan UMNO sendiri mempertahankan kuasa politik Melayu ketika memerintah selama puluhan tahun.

Beliau menolak dakwaan orang Melayu meninggalkan UMNO tanpa sebab, sebaliknya menegaskan ia berpunca daripada kekecewaan mendalam terhadap kepimpinan parti tersebut.

“Orang Melayu meninggalkan UMNO kerana muak dengan rasuah, perebutan kuasa dan kepimpinan yang lebih mementingkan kelangsungan peribadi daripada nasib bangsa,” katanya.

Marzuki turut menyifatkan Ahmad Zahid sebagai hipokrit apabila menuduh Payung Besar Melayu dibina atas retorik amarah dan dendam sejarah, sedangkan UMNO sendiri, menurutnya, sering memainkan sentimen ketakutan dan nostalgia politik untuk menutup kelemahan semasa.

“Ahmad Zahid bercakap mengenai jiwa besar, tetapi memimpin dengan jiwa yang kecil, defensif dan sarat dengan kepentingan diri,” katanya.

Menurut beliau lagi, penubuhan Rumah Bangsa UMNO bukanlah usaha ikhlas menyatukan orang Melayu, sebaliknya cubaan terdesak untuk mengikat kembali sokongan kepada sebuah parti yang sudah hilang arah.

Marzuki berkata, Ahmad Zahid gagal menyentuh isu pokok seperti reformasi dalaman UMNO, pemulihan imej parti, isu integriti serta kepercayaan rakyat.

“Menukar istilah dan jenama tidak akan menyelamatkan bangunan yang hampir runtuh,” katanya.

Beliau menegaskan, Payung Besar Melayu tidak bertujuan menggantikan mana-mana parti politik, sebaliknya menjadi wadah penyatuan kekuatan Melayu merentas parti, latar belakang dan ideologi bagi menangani cabaran besar bangsa, termasuk kelemahan ekonomi, ketidakseimbangan pendidikan, peminggiran kuasa politik serta masa depan generasi Melayu.

Menurutnya, reaksi keras Ahmad Zahid terhadap gagasan tersebut membuktikan UMNO sudah tidak yakin untuk bersaing secara terbuka dan matang dalam landskap politik baharu.

Mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri itu bahawa Payung Besar Melayu rebah kerana tidak berpaut kepada rumah asalnya, Marzuki berkata, ia mendedahkan sikap UMNO yang masih mahu menjadi pusat segala-galanya.

“Ini bukan semangat perpaduan, tetapi sikap angkuh sebuah parti lama yang enggan menerima hakikat zaman monopoli politik Melayu telah berakhir,” katanya.

Beliau turut menegaskan, sejarah tidak akan memihak kepada pihak yang menafikan perubahan dan menolak realiti politik semasa.

“Orang Melayu hari ini semakin matang dan berani menilai siapa yang benar-benar ikhlas memperjuangkan nasib mereka, dan siapa yang hanya menggunakan bangsa sebagai perisai politik.

“UMNO berhak membina versi Rumah Bangsa mereka sendiri, namun tidak berhak menghalang orang Melayu daripada memilih wadah penyatuan yang lebih inklusif.

“Yang rapuh bukan payung besar, tetapi rumah yang dibina di atas asas kepentingan sempit dan kepimpinan yang sudah ditolak sejarah,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *