Bekas Wartawan FMT Ditahan Bawah Akta Hasutan

KUALA LUMPUR – Polis menahan wartawan Rex Tan selepas dia mengemukakan satu soalan yang didakwa mengandungi unsur perkauman ketika satu syarahan awam di Kuala Lumpur yang menampilkan ahli politik United Kingdom, George Galloway, bertajuk “Gaza Exposes the Complicity of International Actors”.

Malaysiakini melaporkan, Tan yang meletakkan jawatan dari portal berita FMT semalam, ditahan tengah malam tadi selepas dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Peguamnya, Rajsurian Pillai mengesahkan Tan ditahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan difahamkan siasatan itu dikendalikan pasukan polis Bukit Aman.

Selepas menerima kecaman meluas, Tan memohon maaf kerana mengemukakan soalan tersebut, yang disifatkannya sebagai “dirangka dengan kurang tepat” dan gagal “menilai relevansinya dengan acara ini, serta kerana menanyakan soalan itu tanpa mengambil kira sensitiviti topik.”

“Yang paling penting, saya amat menyesal kerana menyebut kaum Cina dan Melayu, yang sepatutnya langsung tidak disebut sama sekali,” tambahnya.

Tan mengakui gagal memenuhi tahap profesionalisme yang diharapkan daripadanya sebagai seorang wartawan.

“Saya berharap orang ramai tidak mengkritik FMT Media secara keterlaluan atau lebih teruk, menyerang keluarga dan insan tersayang saya.

“Saya juga berharap orang ramai memahami soalan saya tidak menggunakan istilah ‘apartheid’ atau membandingkan keadaan masyarakat Cina Malaysia kini dengan situasi Palestin.

“Saya telah menjelaskan perkara ini ketika peluang bercakap kedua, apabila saya menyatakan: ‘Saya tidak membandingkan keadaan masyarakat Cina Malaysia sekarang dengan Palestin. Ia tidak tergambar,’” jelasnya.

Mengulas penahanan itu, Timbalan Pengerusi Majlis Media Malaysia, Premesh Chandran berkata, walaupun Tan telah melakukan kesilapan, namun tindakan menahan seorang wartawan merupakan langkah yang “keterlaluan dan bersifat menghukum”.

“Beliau sudah bersedia untuk bekerjasama dalam siasatan, penahanan tidak diperlukan,” katanya.

Sebelum itu, majlis media tersebut mengecam tindakan pendedahan maklumat peribadi, gangguan dan intimidasi terhadap wartawan susulan reaksi balas terhadap Tan.

FMT turut mengeluarkan permohonan maaf dengan menyatakan pihaknya tidak menyedari niat wartawan berkenaan untuk mengemukakan soalan tersebut dan tidak menyokong kenyataannya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *