SHAH ALAM – Penantian tiga lelaki selama empat tahun berakhir hari ini, apabila dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam dari pertuduhan mengedar dadah seberat lebih 96 kilogram, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.
Hakim Mahkamah Tinggi, Dr. Wendy Ooi Su Ghee memutuskan demikian selepas mendapati terdapat kelemahan serius dalam kes pendakwaan yang dikemukakan terhadap ketiga-tiga tertuduh.
Ketiga mereka ialah Muhammad Amiruddin Abd. Hadi, 30; Vijandran Nair a/l Vijayakumaran, 35; dan Muhammad Faiz Ahmad, 36, didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 96,700.3 gram di tepi sebuah rumah di No. 13, Jalan 11, Taman Batu Caves, Gombak, Selangor, kira-kira jam 3 petang, 6 Ogos empat tahun lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ainul Mardiyah Mohd Ali.
Tertuduh pertama diwakili peguam Nik Saiful Adli Burhan, Muhamad Asri Abdul Hamid dan Md. Yusuf Md Idris, tertuduh kedua diwakili Zulkifli Awang dan Mohd Ruzaini Zulkifli, manakala tertuduh ketiga diwakili Dato’ Geethan Ram Vincent.
Dalam alasan ringkas penghakiman, Hakim Mahkamah Tinggi antara lain menyatakan, terdapat percanggahan keterangan saksi-saksi pendakwaan, khususnya berkaitan pengecaman barang kes dan jumlah kotak dadah yang dirampas.
Mahkamah turut mengambil perhatian terhadap kegagalan pihak polis mengemukakan gambar ketika rampasan dilakukan, selain kegagalan mengemukakan rakaman CCTV asal walaupun ia telah diminta oleh pihak forensik, sebaliknya mengemukakan rakaman CCTV yang telah disunting.
Selain itu, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal memanggil saksi penting yang material serta pegawai penyiasat telah gagal menyiasat keterangan-keterangan yang diberikan oleh tertuduh, sekali gus menjejaskan kredibiliti keseluruhan kes pendakwaan dan memprejudiskan pembelaan tertuduh.
Susulan keputusan itu, ketiga-tiga tertuduh dilepaskan dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
