SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan mempercepatkan proses pemindahan ladang penternakan babi ke kawasan khas di Bukit Tagar, Hulu Selangor, yang kini disasarkan dilaksanakan dalam tempoh terdekat tahun ini berbanding perancangan asal pada 2030.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim memaklumkan, keutamaan ketika ini adalah menyelesaikan isu berkaitan status dan pemilikan tanah di kawasan Bukit Tagar melibatkan pihak berkuasa tempatan.
Menurut beliau, langkah mempercepatkan pemindahan ladang-ladang babi dari daerah Kuala Langat dan Sepang perlu dilakukan segera, namun menegaskan tiada peruntukan kewangan daripada kerajaan negeri akan digunakan bagi projek berkenaan.
“Kita sedang berusaha menyelesaikan isu tanah secepat mungkin dan dalam masa sama membincangkan mekanisme yang boleh membantu penternak berpindah ke kawasan baharu seluas kira-kira 202 hektar itu.
“Tapak di Bukit Tagar bukan tanah milik kerajaan, sebaliknya ladang kelapa sawit persendirian yang terletak jauh daripada kawasan penempatan penduduk,” katanya ketika sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), hari ini.
Izham menjelaskan, operasi penternakan di lokasi baharu itu akan tertakluk kepada syarat yang lebih ketat termasuk penggunaan sistem pertanian moden dan tertutup sepenuhnya, tanpa sebarang pelepasan sisa kumbahan ke persekitaran.
“Konsep zero discharge policy (ZDP) akan dilaksanakan, selain zon penampan yang luas antara ladang serta sempadan luar. Operasi ladang juga perlu dijalankan secara tertutup seperti penternakan ayam komersial,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak memperkenankan pembaharuan lesen sementara bagi ladang penternakan babi di Kuala Langat.
“Lesen sementara tidak akan dikeluarkan lagi. Perkara ini akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Rabu bagi mendapatkan keputusan dan panduan selanjutnya.
“Kelulusan lesen hanya akan dipertimbangkan untuk tapak baharu di Bukit Tagar selepas pemindahan dilaksanakan,” katanya.
Tambah Izham, selepas proses pemindahan selesai, tapak-tapak ladang sedia ada akan dipulihkan dan dirawat sebelum tanah tersebut boleh digunakan semula bagi aktiviti pertanian lain.
Beliau turut memaklumkan, terdapat 115 ladang penternakan babi di seluruh Selangor termasuk yang beroperasi secara tidak sah, dengan sebahagian pemilik mengendalikan lebih daripada satu ladang.
“Semua pengusaha akan dipanggil bagi tujuan pemindahan dan selepas itu, semua ladang babi di Kuala Langat serta Sepang akan ditutup sepenuhnya,” jelasnya.
Terdahulu, Izham menghadap Sultan Sharafuddin di Istana Bukit Kayangan bagi mempersembahkan perkembangan terkini berhubung isu penternakan babi di negeri ini. Pertemuan tersebut berlangsung selama kira-kira 45 minit bermula jam 9.45 pagi.
Sebelum ini, media melaporkan Sultan Selangor menyatakan ketidaksetujuan terhadap cadangan kerajaan negeri yang membenarkan operasi ladang babi di Tanjung Sepat bermula tahun ini sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030, khususnya jika ia melibatkan penternakan berskala besar dan berorientasikan eksport.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
