Saifuddin Sifatkan Pemecatan Tidak Adil, Akan Buat Rayuan

SHAH ALAM – Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Saifuddin Abdullah mengesahkan pemecatannya sebagai ahli parti itu susulan keputusan Lembaga Disiplin (LD) BERSATU yang diterimanya pada 6 Januari lalu.

Dalam kenyataan media bagi menjawab tindakan itu, Saifuddin berkata, pemecatan itu dibuat berdasarkan Notis Pemecatan Keahlian yang menyatakan beliau didapati melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan BERSATU, namun alasan berkenaan dinyatakan secara ringkas tanpa perincian lanjut.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan dalam BERSATU, khususnya di Bahagian Indera Mahkota, Bahagian di Pahang, ahli MPT serta rakan dalam Perikatan Nasional (PN) dan luar parti yang menghubunginya bagi menyatakan sokongan serta memberi kata-kata semangat sejak berita pemecatan itu tersebar.

Katanya, kenyataan itu juga mencerminkan pendirian dan perasaan sebahagian ahli BERSATU lain yang dikenakan tindakan disiplin hampir sama.

Menurutnya, beliau telah menghadiri sesi perjumpaan bersama Ahli Jawatankuasa Lembaga Disiplin BERSATU di Ibu Pejabat parti di Petaling Jaya pada 6 November dengan niat baik.

Beliau dimaklumkan, aduan disiplin terhadapnya merangkumi dakwaan mengeluarkan kenyataan mencemarkan imej parti, menyerang dan mengaibkan pemimpin parti termasuk Presiden, mencadangkan Presiden meletakkan jawatan, mendesak pengguguran Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta mempertikaikan keputusan Lembaga Disiplin.

Sesi tersebut dihadiri Pengerusi LD, Datuk Mohammed Radzi Manan bersama dua ahli jawatankuasa lain iaitu Sasha Lyna Abdul Latif dan Mohd Razlan Jalaludin.

Dalam sesi berkenaan, Saifuddin memaklumkan beliau telah mengemukakan tiga tuntutan utama.

Tuntutan pertama, agar dua Ahli Jawatankuasa LD mengundurkan diri daripada mengendalikan kesnya kerana didakwa mempunyai konflik kepentingan yang serius dan boleh menjejaskan prinsip keadilan serta perbicaraan adil.

Beliau mendakwa, Mohammed Radzi mempunyai hubungan kekeluargaan dengan dua pimpinan kanan BERSATU yang turut berada dalam Majlis Pimpinan Tertinggi, manakala Sasha Lyna pula bekerja di bawah Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor, Mohamed Azmin.

Bagaimanapun, permintaan itu ditolak oleh pihak LD dengan alasan lembaga tersebut bukan sebuah mahkamah dan tidak menerima arahan baharu berkaitan perkara tersebut.

Saifuddin menyifatkan jawapan itu tidak selari dengan prinsip keadilan semula jadi, konflik kepentingan dan perbicaraan adil sambil menegaskan beliau tidak mempersoalkan kelayakan individu terbabit sebagai AJK LD secara umum, sebaliknya hanya dalam konteks kesnya.

Tuntutan kedua ialah, LD menjelaskan identiti pihak penyiasat dan pendakwa kesnya, bagi memastikan ketiga-tiga peranan iaitu penyiasatan, pendakwaan dan pembuatan keputusan dilakukan oleh pihak berasingan.

Namun, menurutnya, beliau dimaklumkan, LD menjalankan ketiga-tiga fungsi tersebut secara serentak, yang disifatkannya sebagai tidak adil dan bercanggah dengan prinsip perbicaraan saksama.

Tuntutan ketiga pula ialah supaya Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipanggil hadir bagi memberi penjelasan kepada LD, memandangkan antara pertuduhan terhadapnya ialah mencadangkan Presiden meletakkan jawatan.

“Terdapat beberapa persoalan berkaitan kepimpinan parti yang hanya boleh dijawab oleh Presiden sendiri dan keterangan tersebut penting sebelum sebarang keputusan disiplin dibuat.

“Bagaimanapun, LD tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan itu,” katanya0.

Berikutan itu, Saifuddin memohon agar satu sesi perjumpaan baharu diadakan yang memenuhi ketiga-tiga tuntutan berkenaan, sambil menyatakan kesediaannya untuk memberi kerjasama penuh sekiranya prinsip perbicaraan adil dipenuhi.

Namun, sehingga 6 Januari lalu, beliau mendakwa tidak menerima sebarang maklum balas daripada Lembaga Disiplin.

Saifuddin berkata, beliau akan mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan BERSATU dalam masa terdekat bagi mencabar keputusan pemecatan tersebut.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *