Pertubuhan CSWK Jawab Fitnah Netizen Pertikai Anugerah NGO Terbaik

KOTA BHARU – Pertubuhan Warisan Pusaka Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia (CSWK) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan dan pertanyaan bernada fitnah yang dibangkitkan seorang netizen menggunakan nama Mohd Nazir, mempersoalkan mengapa pertubuhan ini menerima Anugerah NGO Terbaik walaupun kononnya pernah dikaitkan dengan beberapa laporan polis, termasuk dakwaan pemalsuan lambang kebesaran diraja Kelantan.

Menurut Yang Dipertuanya, Fadzillah Hussin, sebelum sebarang tuduhan atau persoalan dilemparkan secara terbuka di media sosial, adalah wajar untuk menilai terlebih dahulu ketulenan dan kredibiliti pihak yang membuat dakwaan itu.

Dalam kes ini, katanya, akaun Facebook atas nama Mohd Nazir didapati menggunakan profil terkunci (locked profile), tanpa maklumat jelas, malah turut menggunakan gelaran tertentu yang menimbulkan kekeliruan awam.

“Keadaan ini menimbulkan persoalan sama ada individu berkenaan benar-benar bertindak atas dasar kebenaran atau sekadar mewakili golongan yang cemburu dan dengki dengan kemajuan CSWK, sehingga terpaksa menyamar sebagai kononnya ‘pembela kebenaran’,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Kata Fadzillah, setiap pertubuhan berdaftar di Malaysia yang beroperasi berlandaskan Perlembagaan Pertubuhan dan tertakluk kepada kesahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) tidak pernah terlepas daripada pelbagai fitnah, terutamanya apabila pertubuhan tersebut menunjukkan perkembangan dan pencapaian yang memberangsangkan.

Mengulas mengenai isu laporan polis yang sering dijadikan bahan serangan, Pertubuhan CSWK menegaskan, mengikut perundangan negara, mana-mana laporan polis yang dibuat oleh individu tertentu, akan melalui proses siasatan yang jelas dan berperingkat.

Katanya, individu yang dikaitkan dalam laporan polis itu, akan dipanggil untuk soal siasat atau memberi keterangan, kertas siasatan dibuka dan seterusnya dirujuk kepada Pejabat Pendakwa Raya untuk menentukan sama ada terdapat asas pendakwaan.

“Sekiranya tiada sebarang pendakwaan difailkan di mahkamah selepas siasatan dijalankan, maka secara undang-undang, tiada mana-mana individu atau pertubuhan boleh dianggap bersalah atau disabitkan dengan kesalahan hanya berdasarkan laporan polis semata-mata,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, dakwaan yang cuba mengaitkan pertubuhan ini dengan kesalahan undang-undang tanpa sebarang keputusan mahkamah adalah tidak berasas dan bersifat mengelirukan masyarakat.

Berhubung penganugerahan Anugerah NGO Terbaik yang diterima pada malam akhir tahun lalu, beliau menjelaskan, pengiktirafan tersebut bukan diberikan secara sewenang-wenangnya.

“Sebaliknya, Pertubuhan CSWK telah melalui pelbagai proses tapisan, termasuk pemeriksaan latar belakang, rekod jenayah serta penilaian dalaman oleh pihak penganjur anugerah.

“Apabila pihak penganjur berpuas hati dengan hasil penilaian dan siasatan mereka, maka adalah hak mereka sepenuhnya untuk menentukan sama ada Pertubuhan CSWK layak atau tidak menerima anugerah tersebut,” katanya.

Dalam masa sama, Fadzillah mengakui tidak mampu menghalang sepenuhnya unsur fitnah dan serangan daripada pihak tertentu, terutamanya individu atau kumpulan yang mempunyai niat tidak baik, iri hati atau agenda tersembunyi untuk menjatuhkan pertubuhannya.

Sebagai langkah profesional dan berhemah, beliau turut mengalu-alukan Mohd Nazir, yang menggunakan nama “Tengku” dalam profil akaun Facebooknya, untuk berhubung secara terus dengan pihak pertubuhan bagi mendapatkan penjelasan sebenar.

“Kami bersedia pada bila-bila masa untuk menjawab sebarang persoalan secara terbuka dan berfakta, lengkap dengan dokumen sah serta pengesahan daripada Jabatan RoS, agar tidak berlaku fitnah berterusan pada masa hadapan,” jelas kenyataan itu.

Beliau menasihatkan semua pihak agar menggunakan saluran yang betul dan bertanggungjawab dalam menyampaikan maklumat.

“Buatlah laporan atau teguran yang berfakta dan membawa manfaat kepada diri sendiri, keluarga serta masyarakat, bukan dengan bangun pagi menyebarkan fitnah yang akhirnya hanya memakan diri sendiri,” ujarnya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *