KUALA LUMPUR – Pergolakan politik melanda Perlis mencetuskan polemik dalam kalangan pimpinan dan penyokong Perikatan Nasional (PN), apabila Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan secara terbuka meletakkan tanggungjawab krisis itu di bahu Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menerusi satu kenyataan panjang di Facebook, Wan Saiful mendakwa krisis politik di Perlis berpunca daripada kegagalan kepimpinan tertinggi PN mengurus gabungan secara tersusun dan berkesan, khususnya dalam menentukan calon Menteri Besar daripada PN selepas pilihan raya negeri.
Menurut beliau, Muhyiddin selaku Pengerusi PN sepatutnya bertindak lebih awal dengan memanggil mesyuarat rasmi gabungan bagi mencapai keputusan bersama, sebaliknya ketiadaan hala tuju jelas menyebabkan parti-parti komponen bertindak secara berasingan.
“Akibat tiada mesyuarat dan keputusan rasmi PN, BERSATU dan PAS masing-masing menghantar surat berasingan kepada Istana Perlis. Ini jelas menunjukkan kelemahan koordinasi dan kepimpinan di peringkat tertinggi,” katanya.
Wan Saiful menegaskan, kegagalan itu bukan sahaja mencetuskan kekeliruan di peringkat negeri, malah memberi kesan besar kepada kestabilan dan imej PN secara keseluruhan.
Menurutnya, keadaan tersebut telah mendorong sebahagian pihak dalam PAS mencadangkan agar parti itu meninggalkan PN dan menghidupkan semula kerjasama Muafakat Nasional (MN).
Beliau menyifatkan perkembangan itu sebagai isyarat jelas, keyakinan terhadap kepimpinan sedia ada PN semakin terhakis.
“Semua ini berlaku kerana kegagalan memimpin. Jika kepimpinan berfungsi dengan baik, isu sebesar ini boleh diselesaikan melalui musyawarah dalaman,” katanya.
Wan Saiful turut mendedahkan, tanda kelemahan kepimpinan Muhyiddin telah wujud lebih awal, khususnya sejak Disember 2024, apabila PAS mengemukakan cadangan penambahbaikan terhadap struktur dan hala tuju PN.
Namun, menurut beliau, cadangan tersebut tidak diendahkan.
Dalam pada itu, Wan Saiful berpandangan, cadangan PAS untuk meninggalkan PN bukan langkah terbaik dalam situasi semasa, sebaliknya, beliau mencadangkan agar jawatan Pengerusi PN diserahkan kepada PAS bagi membolehkan pembaikan dalaman dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“PAS wajar diberi peluang mengambil alih kepimpinan PN. Parti-parti komponen lain, termasuk Gerakan, perlu menerima hakikat ini dengan hati terbuka,” katanya.
Beliau turut menyentuh kebimbangan parti bukan Melayu dalam gabungan itu, namun percaya isu tersebut boleh diuruskan dengan pendekatan yang tersusun dan inklusif sekiranya kepimpinan baharu dilaksanakan dengan baik.
Wan Saiful juga melihat langkah itu sebagai peluang untuk menghidupkan semula semangat Muafakat Nasional dalam bentuk yang lebih luas, melibatkan bukan sahaja parti politik, tetapi juga badan-badan bukan politik yang berkongsi matlamat sama.
Mengulas lanjut, brliau menyifatkan krisis di Perlis sebagai sesuatu yang mungkin dapat dielakkan sekiranya perubahan kepimpinan PN dilakukan lebih awal.
Beliau membandingkan budaya kepimpinan PAS yang menekankan musyawarah dengan apa yang disifatkannya sebagai pendekatan keputusan unilateral di bawah Muhyiddin.
“PAS bukan parti budak-budak. Mereka matang, berpengalaman dan tahu apa yang perlu dilakukan. Budaya perbincangan dan syura mereka jauh lebih sihat untuk sebuah gabungan besar,” katanya.
Pergolakan politik di Perlis, yang menyaksikan jawatan Menteri Besar akhirnya beralih kepada BERSATU, kini menjadi medan perdebatan hangat dalam kalangan pemerhati politik, malah ramai melihat episod ini sebagai ujian paling serius terhadap hubungan PAS dan BERSATU dalam PN.
Dengan kemungkinan Pilihan Raya Kecil dan perubahan kepimpinan gabungan terus diperkatakan, krisis Perlis bukan sahaja mencerminkan masalah di peringkat negeri, malah berpotensi membentuk hala tuju dan masa depan Perikatan Nasional di peringkat nasional.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

