KANGAR — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara rasmi dimaklumkan mengenai kekosongan luar jangka tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, sekali gus membuka laluan kepada pertimbangan untuk mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) di negeri itu.
Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan, menyerahkan notis rasmi berhubung kekosongan tersebut kepada SPR dalam satu pertemuan di Pejabat SPR Perlis, Kangar, kira-kira jam 12 tengah hari semalam.
Notis berkenaan melibatkan tiga kawasan DUN iaitu Chuping, Bintong dan Guar Sanji yang kini tidak mempunyai wakil rakyat.
Menurut Rus’sele, penyerahan notis itu merupakan tanggungjawab perlembagaan Speaker DUN bagi memaklumkan kekosongan kerusi kepada pihak berkuasa pilihan raya.
“Saya menyerahkan semuanya kepada pertimbangan pihak SPR,” katanya.
Kekosongan tiga kerusi berkenaan berpunca daripada terhentinya keahlian tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terbabit dalam PAS, iaitu Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).
Keadaan itu berlaku selaras dengan peruntukan Perkara 50A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis yang memperuntukkan, seseorang ADUN akan hilang kelayakan sekiranya terhenti keahlian dalam parti politik atas tiket yang dimenanginya pada pilihan raya.
Peruntukan ini bertujuan mengekang lompat parti dan memastikan mandat pengundi dihormati.
DUN Perlis kini telah melepasi tempoh tiga tahun sejak persidangan pertamanya pada 18 Disember lalu, dan mengikut amalan pilihan raya, PRK tidak diwajibkan sekiranya kekosongan berlaku selepas tempoh tertentu sebelum pembubaran DUN.
Namun begitu, kerajaan negeri berpandangan, pengisian kerusi kosong melalui PRK wajar dipertimbangkan.
Pandangan ini didorong oleh keperluan memastikan wakil rakyat di kawasan terlibat terus mempunyai suara dalam Dewan, selain mengekalkan kelancaran pentadbiran dan fungsi legislatif negeri.
Keputusan muktamad sama ada PRK akan diadakan terletak di bawah bidang kuasa SPR selepas meneliti aspek perundangan, kos serta kepentingan awam.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Perikatan Nasional (PN) mencatat kemenangan besar di Perlis dengan menguasai 14 daripada 15 kerusi DUN. Daripada jumlah itu, PAS memenangi sembilan kerusi manakala Bersatu lima.
Pakatan Harapan pula hanya memenangi satu kerusi melalui Parti Keadilan Rakyat (PKR) di DUN Indera Kayangan.
Sekiranya PRK diadakan, ia berpotensi menjadi ukuran sokongan semasa pengundi terhadap PN, khususnya PAS, di samping memberi ruang kepada parti pembangkang untuk menguji kekuatan mereka di negeri yang kini didominasi satu gabungan politik.
Keputusan PRK juga boleh memberi isyarat awal terhadap dinamika politik Perlis menjelang pilihan raya negeri akan datang.
Buat masa ini, semua mata tertumpu kepada SPR yang dijangka mengumumkan keputusannya dalam tempoh terdekat selepas menerima notis rasmi berkenaan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

