PULAU PINANG – Pulau Pinang kini menjadi tumpuan dunia seni antarabangsa apabila lebih 60 karya asli tokoh legenda, Pablo Picasso dipamerkan secara eksklusif di negeri pulau mutiara itu.
Pameran julung kali diadakan ini dipersembahkan oleh Galeri Seni Lin Xiang Xiong yang terletak di The Light Waterfront, Gelugor, menjadikannya tarikan pelancongan seni terbaharu bertaraf dunia di Malaysia.
Dinamakan “Picasso dan Lin Xiang Xiong: Dialog Merentasi Masa”, pameran khas ini menghimpunkan koleksi unik termasuk litograf, fotolitograf, poster dan cetakan sutera oleh Picasso.
Ia dipadankan secara harmonis bersama lebih 300 lukisan oleh Profesor Lin Xiang Xiong, mewujudkan satu dialog visual yang melangkaui zaman antara dua seniman berwawasan besar dari era berbeza.

Pameran berprestij ini dibuka kepada orang ramai bermula Disember 2025 sehingga 31 Mac 2026, sekali gus menawarkan produk pelancongan jangka panjang yang signifikan untuk kalendar pelancongan negeri dan negara.
Kehadiran karya agung ini meletakkan Pulau Pinang di peta seni global, menarik minat peminat seni serta pelancong dari dalam dan luar negara untuk menyaksikan sendiri himpunan sejarah ini.
Galeri Seni Lin Xiang Xiong yang menjadi tuan rumah kepada acara berprestij itu merupakan mercu tanda budaya baharu di Asia yang baru sahaja dibuka pada Disember 2025.
Dengan keluasan mencecah 8,000m persegi, fasiliti moden di The Light Waterfront berkenaan berfungsi sebagai platform pertukaran seni kontemporari yang kondusif bagi mempromosikan persefahaman antara budaya.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh galeri itu, pameran berkenaan meneroka tema universal iaitu keamanan melalui perspektif kedua-dua seniman.

Picasso yang merupakan antara tokoh paling berpengaruh abad ke-20, pernah mengharungi detik getir Perang Saudara Sepanyol dan Perang Dunia, menjadikan karya beliau sebagai respons ampuh terhadap penderitaan manusia dan keganasan.
Karya Picasso yang dipamerkan bukan sekadar ekspresi peribadi, sebaliknya berfungsi sebagai suara awam yang menentang peperangan.
Pengunjung dapat melihat penggunaan simbol berulang yang ikonik seperti burung merpati dan sejambak bunga yang diterjemahkan sebagai mesej harapan serta maruah manusia dalam menghadapi konflik global yang meruncing.
Mengulas mengenai signifikansi pameran ini, pengkritik dan kurator seni Perancis, Alin Avila menjelaskan, Picasso menjadikan seni sebagai daya penentangan dan harapan di tengah-tengah abad ke-20 yang bergolak.
Visi kejelasan dalam kengerian dan kepercayaan terhadap keupayaan manusia untuk membina semula menjadi intipati utama yang ingin disampaikan kepada pengunjung.

Sementara itu, amalan seni Profesor Lin Xiang Xiong yang merangkumi akhir abad ke-20 hingga kini mencerminkan realiti dunia yang masih bergelut dengan konflik etnik dan krisis pelarian.
Karya beliau yang penuh emosi berhadapan dengan realiti semasa secara langsung, menggesa masyarakat menyedari bahawa keamanan kekal sebagai satu tanggungjawab yang belum selesai.
Prof. Lin dalam kenyataan sama menegaskan, karya terpilih Picasso itu tidak pernah ditujukan untuk pengumpul persendirian semata-mata, sebaliknya dicipta untuk diedarkan dalam masyarakat.
Beliau menyifatkan pameran ini menjelmakan semangat ‘Seni untuk Keamanan’, di mana seni bukan sahaja untuk dilihat, tetapi bertindak sebagai platform kritikal untuk dialog sosial.
Pameran ini tidak hanya menumpukan kepada satu karya agung, tetapi menawarkan naratif visual yang komprehensif.
Antara tarikan utama termasuk siri ‘Le Visage de la Paix’ (Wajah Keamanan), imej kontras antara perang dan damai serta poster bersejarah daripada pelbagai kongres keamanan dan gerakan anti-perang yang jarang dipertontonkan kepada umum.
Berita baik bagi rakyat Malaysia, pihak pengurusan galeri menawarkan harga tiket mampu milik untuk pemegang MyKad bagi menggalakkan kehadiran keluarga.
Tiket dewasa bermula pada harga RM38, manakala warga emas dan kanak-kanak berusia 13 tahun ke bawah dikenakan bayaran serendah RM19, sementara kanak-kanak empat tahun ke bawah dikecualikan bayaran masuk.
Galeri ini beroperasi dari hari Selasa hingga Ahad, memberi peluang kepada orang ramai untuk menghayati seni pada hujung minggu. Dengan gabungan infrastruktur hebat dan karya bertaraf legenda, pameran di Pulau Pinang itu dilihat bakal menjadi destinasi wajib singgah bagi pencinta seni dan sejarah sepanjang tahun hadapan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

