KUALA LUMPUR – PAS memutuskan untuk menamatkan keahlian tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis dari parti itu berkuatkuasa serta-merta selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang berlangsung semalam.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan keputusan itu dibuat selaras dengan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025).
Beliau memaklumkan, tiga ADUN yang terlibat ialah Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).
Menurutnya, PAS akan mengemukakan pemberitahuan rasmi kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Perlis bagi mematuhi Perkara 50A(1)(a)(ii) Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2022.
Sebelum ini, media melaporkan PAS akan mengadakan perbincangan berhubung isu kepimpinan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, yang dikatakan kehilangan sokongan majoriti ADUN.
Mesyuarat berkenaan diadakan di Ibu Pejabat PAS di Jalan Raja Laut dan disahkan oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS III Perlis.
Bagaimanapun, Shahidan menafikan wujudnya sebarang gerakan terancang dalam PN berkaitan isu tersebut.
Beliau berkata, tiada pakatan khusus dapat dikenal pasti, sebaliknya kemungkinan beberapa pihak dipanggil secara individu dan fokus kini adalah terhadap keputusan yang bakal dibuat oleh PAS Pusat.
Isu ini tercetus susulan dakwaan beberapa ADUN daripada PAS dan BERSATU telah menyerahkan akuan berkanun kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, pada Jumaat lalu, menyatakan penarikan sokongan terhadap kepimpinan Mohd Shukri.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
