KUALA LUMPUR – Keputusan membawa isu Titah Addendum ke mahkamah disifatkan sebagai langkah terakhir Datuk Seri Najib Razak selepas usaha mendapatkan pengesahan secara tertutup daripada pihak berkuasa gagal, kata anaknya, Nooryana Najwa.
Menurut Nooryana, bapanya pada awalnya tidak berhasrat untuk menyelesaikan perkara itu melalui proses perundangan, sebaliknya memilih pendekatan diplomatik tanpa pendedahan kepada umum kerana menyedari sensitiviti isu berkenaan.
“Beliau memahami implikasi perkara ini dan tidak mahu meletakkan mana-mana pihak, termasuk kerajaan, dalam keadaan sukar,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Nooryana berkata, Najib telah berusaha selama lebih tiga bulan dengan menulis surat kepada beberapa kementerian dan agensi berkaitan termasuk Jabatan Peguam Negara (AGC) serta Pejabat Perdana Menteri (PMO), namun tidak menerima sebarang maklum balas.
Katanya, walaupun tiada jawapan diterima, Najib masih keberatan membawa perkara tersebut ke mahkamah kerana bimbang pendedahan awam akan menimbulkan polemik, khususnya apabila wujud dakwaan cubaan menutup kebenaran.
“Proses ini akhirnya menjadi panjang dan berlarutan hampir dua tahun, melibatkan pengurusan kes, permohonan semakan kehakiman serta rayuan, hanya untuk dimaklumkan bahawa titah addendum itu wujud tetapi tidak sah,” katanya.
Beliau turut berpandangan bahawa sekiranya pihak berkuasa memberikan maklum balas lebih awal, sama ada pada Januari atau Februari 2024, dengan menjelaskan pendirian mereka terhadap titah berkenaan, masa dan kos yang ditanggung untuk membawa kes itu ke mahkamah dapat dielakkan.
Dalam pada itu, Nooryana menyatakan keyakinannya bahawa Yang di-Pertuan Agong ke-16 tidak akan mengeluarkan sebarang titah tanpa nasihat Peguam Negara, lebih-lebih lagi apabila addendum tersebut ditujukan secara khusus kepada Peguam Negara ketika itu.
“Sekiranya tindakan tersebut bercanggah dengan undang-undang atau Perlembagaan, sudah tentu nasihat berbeza akan diberikan,” katanya.
Beliau menambah, kegagalan mana-mana pihak mengambil tanggungjawab dalam isu berkenaan telah mencetuskan pelbagai komplikasi sehingga menimbulkan kekecewaan yang mendalam.
Menurutnya, Najib kekal dengan pendirian untuk menghadapi cabaran secara berprinsip dan menolak untuk melarikan diri daripada apa yang disifatkannya sebagai penganiayaan politik.
“Beliau tekad membersihkan namanya dan terus berjuang menegakkan keadilan,” katanya.
Sebagai anak, Nooryana berkata beliau hanya mampu mendoakan agar bapanya yang kini berusia 72 tahun dikurniakan kesihatan yang baik bagi menghadapi segala cabaran dengan kekuatan mental dan emosi.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
