SHAH ALAM – Ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir menzahirkan ucapan tahniah dan penghargaan penuh emosi kepada aktivis agama, Marhamah Rosli, susulan pelantikan tokoh berkenaan sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Noraidah Lamat, 45, yang sejak sekian lama berdepan detik paling sukar dalam hidupnya selepas kehilangan anak tersayang, meluahkan rasa syukur dan terima kasih menerusi satu hantaran di Facebook.
Beliau turut mengimbas kembali jasa serta sokongan tidak berbelah bahagi yang diberikan Marhamah ketika dirinya bergelut menuntut keadilan buat anaknya.
“Alhamdulillah. Tahniah puan. Banyak jasa puan kepada saya. Hanya Allah SWT yang mampu membalas segala kebaikan puan,” tulis Noraidah sambil berkongsi artikel berkaitan pelantikan Marhamah yang diumumkan membarisi Kabinet Kerajaan Perpaduan semalam.
Menurut Noraidah, kehadiran dan sokongan moral Marhamah bukan sekadar memberi kekuatan, malah menjadi sinar harapan bagi seorang ibu yang sedang diuji dengan kehilangan paling besar dalam hidupnya.
Kata-kata semangat, doa serta keprihatinan yang ditunjukkan disifatkan sebagai antara faktor yang membantunya terus bangkit dan bersuara.
Pada masa sama, Noraidah menegaskan, perjuangannya menuntut kebenaran dan keadilan untuk Allahyarhamah Zara Qairina belum berakhir.
Beliau menegaskan laungan #JusticeForZara akan terus bergema dan tidak akan pernah terpadam selagi persoalan sebenar kematian anaknya belum terjawab sepenuhnya.
“Perjuangan ini bukan sekadar untuk Zara, tetapi untuk memastikan kebenaran ditegakkan dan perkara sama tidak berulang kepada anak-anak lain,” katanya.
Terdahulu, Marhamah adalah antara individu terawal tampil memberikan sokongan kepada Noraidah sejurus insiden tragis yang menimpa Zara Qairina.
Sokongan tersebut merangkumi nasihat, doa serta usaha membangkitkan kesedaran masyarakat mengenai isu berkenaan.
Untuk rekod, Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu di sebuah sekolah menengah agama di Papar, disahkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu.
Mangsa sebelum itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolah berkenaan, sekali gus mencetuskan pelbagai persoalan dan keprihatinan awam.
Pelantikan Marhamah ke jawatan Timbalan Menteri disambut dengan harapan besar oleh banyak pihak, termasuk keluarga mangsa, agar suara keadilan, kebajikan dan kemanusiaan terus diberi perhatian di peringkat tertinggi pentadbiran negara.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
