Pertempuran Sempadan Thailand–Kemboja Memuncak: Kasino, Depot Minyak Di Choep Koki Runtuh Dihentam Serangan Udara Thailand

BANGKOK/PHNOM PENH – Kawasan sempadan Thailand–Kemboja kembali bergolak selepas beberapa minggu dilaporkan tenang, apabila tentera Thailand melancarkan satu operasi ketenteraan besar awal pagi Khamis, mengakibatkan pertempuran baharu meletus di Surin dan Buri Ram.

Serangan itu memusnahkan sebuah kasino dan sebuah depot minyak yang terletak di wilayah Kemboja serta didakwa digunakan sebagai pangkalan tentera negara itu.

Menurut laporan The Nation, Tentera Kedua Thailand mengeluarkan kenyataan bahawa aktiviti ketenteraan mula dikesan seawal jam 4.35 pagi di empat lokasi utama sepanjang garis sempadan iaitu Chong Bok, Chong An Ma, Ta Kwai dan Ta Muean.

Keempat-empat lokasi itu sebelum ini pernah menjadi titik panas kerana kedudukannya yang strategik serta kedekatannya dengan laluan keluar masuk tentera.

Kenyataan tersebut menekankan, pasukan keselamatan telah berada dalam tahap kesiapsiagaan tertinggi, termasuk mobilisasi unit artileri, rondaan udara dan pergerakan pasukan infantri bagi memastikan wilayah Thailand tidak diganggu atau diceroboh oleh mana-mana pihak.

Dalam satu kemas kini yang dimuat naik ke Facebook rasmi “Army Military Force”, tentera Thailand mendedahkan, serangan terbaharu itu menyasarkan kawasan Choep Koki, yang terletak berhadapan Daerah Ban Kruat, Buri Ram.

Catatan itu menyatakan, asap hitam tebal kelihatan menjulang dari arah kasino dan depot minyak, yang kemudiannya disahkan telah musnah sama sekali selepas dihentam serangan udara dan serangan darat secara serentak.

Laporan The Nation turut mengesahkan penggunaan jet pejuang F-16 Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) dalam operasi tersebut.

Jet berkenaan melancarkan bom berkuasa tinggi ke kawasan sasaran di Daerah Banteay Ampil, Oddar Meanchey, manakala unit tentera darat menggunakan meriam dan peluru berpandu darat ke darat untuk mengebom depot minyak di lokasi berhampiran.

Beberapa penduduk di kawasan Buri Ram dilaporkan mendengar siri letupan yang berpanjangan, dengan sebahagiannya bergema sehingga 10km jauhnya dari garis serangan.

Walaupun sasaran operasi adalah dua struktur komersial – sebuah kasino dan depot minyak – tentera Thailand menegaskan, kedua-duanya digunakan bukan untuk tujuan awam, tetapi sebagai pangkalan ketenteraan tersembunyi oleh tentera Kemboja.

Maklumat risikan menyebut bangunan itu menjadi pusat pelancaran dron yang digunakan untuk melakukan serangan terhadap pos kawalan Thailand di sepanjang sempadan.

Ia juga digunakan untuk penyimpanan senjata berat, khususnya roket dan senjata anti-kereta kebal yang boleh digunakan bagi operasi jarak dekat.

Pengisian bahan bakar, termasuk untuk sistem pelancar roket BM-21, satu sistem roket artileri mudah alih yang mampu memberi impak besar kepada pos kedudukan tentera Thailand jika digunakan.

Tentera Thailand menggambarkan serangan itu sebagai “operasi pencegahan” bagi menghalang sebarang pelanggaran wilayah serta mencegah ancaman yang disifatkan semakin kerap berlaku sejak beberapa bulan lalu.

Tentera Kedua Thailand menjelaskan, operasi tersebut tidak dilakukan untuk mencetuskan peperangan berskala besar, tetapi sebagai langkah mempertahankan kedaulatan negara.

“Kami mengambil tindakan yang perlu bagi menghalang potensi serangan terhadap wilayah Thailand. Keselamatan orang awam di kawasan sempadan adalah keutamaan,” kata kenyataan itu.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *