Dari Meja Editorial
PESTA Buku Antarabangsa Selangor (PBAS) lazimnya menjadi medan untuk meraikan dunia ilmu, penulisan dan penerbitan. Namun, edisi 2025 menyaksikan sesuatu yang jauh daripada jangkaan – satu kontroversi besar tercetus selepas penganugerahan Anugerah Buku Negara (ABN) yang kemudiannya ditarik balik, membawa kepada perdebatan hangat mengenai kredibiliti industri buku tanah air.
Insiden ini bukan sekadar membongkar kelemahan pengurusan sebuah anugerah, tetapi juga membuka ruang soal besar mengenai etika, integriti dan ketelusan dalam dunia penerbitan Malaysia.
Segalanya tercetus apabila dua buku, antaranya, Cikgu E: Kisah Pejuang Kanser menerima pengiktirafan ABN ketika berlangsungnya PBAS 2025. Pada permulaannya, ia sekadar kelihatan seperti satu majlis penghormatan biasa untuk menghargai karya tempatan. Namun, dalam masa singkat, pengiktirafan tersebut bertukar menjadi perdebatan lantang di media sosial.
Tular pelbagai ciapan dan hantaran yang mendakwa sebahagian kandungan buku tersebut adalah plagiat, dikatakan disalin bulat-bulat daripada sumber lain, malah ada yang menuduh ia sekadar hasil terjemahan automatik menggunakan “Google Translate” tanpa kebenaran atau kredit.
Tuduhan sebegini sudah cukup berat untuk menggoncang reputasi sesebuah buku, namun keadaan menjadi lebih parah apabila gambar sijil penganugerahan tertera tandatangan tokoh berprofil tinggi turut beredar.
Kemunculan tandatangan tokoh politik dan kerajaan pada sijil itu menimbulkan persoalan lebih besar, bagaimana karya yang didakwa bermasalah boleh dipilih dan adakah tokoh ini benar-benar terlibat dalam penganugerahan tersebut? Netizen mempertikaikan bukan sahaja integriti karya, tetapi juga integriti keseluruhan proses penjurian.
Selepas tekanan awam yang semakin memuncak, Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) tampil memberikan kenyataan. Mereka mengakui, proses penjurian dan penilaian ABN mempunyai kelemahan ketara. Justeru, memutuskan untuk menarik balik pengiktirafan yang diberikan kepada buku tersebut.
Lebih mengejutkan, YPBN menjelaskan, ABN sebenarnya bukan pertandingan dengan pemenang mengikut hierarki, sebaliknya hanya pengiktirafan kepada karya yang layak disenaraikan. Namun, kelemahan terlepas pandang dalam proses penilaian berlaku akibat kekurangan dana untuk melantik juri profesional.
Kenyataan itu disusuli dengan penegasan bahawa insiden ini perlu dilihat sebagai satu pembelajaran dan YPBN berjanji untuk memperbaiki mekanisme penilaian pada masa akan datang. Walaupun langkah penarikan balik anugerah dilihat sebagai tindakan bertanggungjawab, ia tidak serta-merta meredakan kekeliruan dan kritikan awam.
Dalam kekalutan ini, ramai menyangka pihak penganjur PBAS, iaitu Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) terlibat secara langsung dalam penganugerahan ABN. Kekeliruan ini wujud mungkin kerana acara penyampaian anugerah diadakan di lokasi yang sama atau kelihatan seolah sebahagian daripada agenda rasmi PBAS.

PPAS segera menafikan keterlibatan tersebut. Menurut mereka, ABN bukan program rasmi PBAS, malah PPAS hanya menyediakan ruang dan fasiliti kepada penganjur luar yang hendak menganjurkan aktiviti sampingan. Proses penjurian, pemilihan buku dan keseluruhan pengurusan teknikal anugerah berada di bawah tanggungjawab pihak ABN sepenuhnya.
PPAS turut menegaskan, dakwaan plagiat yang tular di media sosial di luar kawalan bidang kuasa mereka, namun mereka telah merujuk isu tersebut kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut. Penjelasan ini membantu meredakan salah faham, tetapi tetap memastikan tumpuan kritikan kekal kepada penganjur ABN.
Kontroversi ini membuka banyak persoalan yang lebih mendalam daripada isu sebuah buku:
1. Ketelusan dan Kredibiliti Pengurusan Anugerah
Keupayaan ABN untuk menilai karya secara profesional dipersoalkan. Kekurangan juri profesional atas alasan dana menimbulkan kerisauan mengenai standard penganugerahan dan proses saringan yang sepatutnya ketat dalam industri penerbitan.
2. Integriti Karya dan Hak Cipta
Tuduhan plagiat adalah perkara serius. Ia bukan sekadar menjejaskan penulis terbabit, tetapi juga mencemarkan imej industri penulisan tempatan. Bila sebuah karya yang dipersoalkan integritinya boleh menang anugerah, ia menimbulkan tanda tanya besar, adakah sistem semakan manuskrip dan etik penerbitan kita kukuh?
3. Kepercayaan Terhadap Anugerah dan Institusi Buku
Apa-apa anugerah perlu dilihat berwibawa untuk dihormati. Insiden ini berpotensi meruntuhkan kepercayaan masyarakat terhadap ABN dan bahkan anugerah atau program literasi lain, jika tiada pembaikan sistemik dilakukan.
Langkah YPBN menarik balik anugerah adalah pengakuan penting berlaku kesilapan serius dalam proses pemilihan dan penilaian. Namun, penarikan balik sahaja tidak cukup.
Peristiwa ini menandakan keperluan mendesak untuk menilai semula keseluruhan mekanisme penganugerahan, termasuk keberadaan juri profesional, penggunaan sistem semakan plagiat, ketelusan proses pemilihan dan etika penerbitan.
Kontroversi ini juga memberi pengajaran kepada semua pihak iaitu penerbit, penulis, pengurusan anugerah, bahkan pembaca. Ia mengingatkan bahawa dunia buku bukan sekadar mengenai penerbitan, tetapi juga mengenai kejujuran intelektual dan tanggungjawab moral.
Dalam jangka panjang, masyarakat dan penggiat industri buku dijangka lebih kritikal dalam menilai karya dan anugerah. Dengan penambahbaikan yang sewajarnya, kejadian seperti ini mungkin dapat dielakkan, malah berpotensi menjadikan industri buku Malaysia lebih matang, telus dan berwibawa. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
