KOTA BHARU – Pasukan Sukarelawan Bantuan Angkatan Pertahanan Awam (CDA-ERT) Ketereh mengambil tindakan segera melatih 10 anggota baharu sebagai persediaan menghadapi gelombang kedua Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka tidak lama lagi.
Komandernya, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Nik Saiful Adli Burhan berkata, gelombang pertama MTL pada minggu lepas menyaksikan hujan dan ribut luar biasa menyebabkan banyak Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di daerah Kota Bharu.
Kata beliau, sepanjang tempoh itu, kawasan Parlimen Ketereh tidak terlibat dengan bencana itu, tetapi sebahagian anggota dari Ketereh dihantar membantu di lokasi terlibat.
“Lazimnya banjir di kawasan Ketereh akan bermula pada gelombang kedua apabila longkang dan sungai mulai penuh serta tidak mampu menampung hujan. Kawasan terlibat biasanya meliputi Peringat, Melor, Kadok dan Kok Lanas serta lazimnya sekitar lima ke 10 PPS terlibat.
“Latihan hari ini meliputi anggota sukarelawan yang telah tamat kursus asas pada 17 November lalu. Latihan ini khusus untuk pengurusan banjir melibatkan pendaftaran mangsa, pengurusan PPS, pemasangan khemah serta asas pertolongan cemas yang dikendalikan oleh Penyelia Kanan Pasukan, L/Kpl Ahmad Akhram Naim dan Penyelaras Kompeni Perubatan, MA Khairul Nizam Rosli,” katanya.
Turut hadir, Ketua Kompeni Perubatan CDA-ERT Ketereh, Lt. Kol. Bersekutu Dr. Nurul Ain Razali.
Menurut beliau, latihan tambahan sebegini adalah perlu mengambil kira tahap keseriusan bencana tahun lalu, ditambah pula perubahan global yang menyaksikan pelbagai bencana seperti taufan dan banjir di luar jangkaan sepanjang tahun ini.
“Dijangka dengan kekuatan anggota sedia ada dan baharu, CDA-ERT Ketereh mampu menampung tugasan sehingga lima PPS pada satu-satu masa, termasuk bagi perkhidmatan memindah mangsa dengan bot,” katanya.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
