LISBON – Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo dibenarkan beraksi pada perlawanan pembukaan Piala Dunia 2026 selepas badan induk bola sepak dunia FIFA menggantung sebahagian hukuman kad merah yang diterimanya baru-baru ini.
Penyerang berusia 40 tahun itu dilayangkan kad merah ketika Portugal tewas 0-2 kepada Republik Ireland di Dublin pertengahan bulan ini selepas menyiku Dara O’Shea, menyaksikan dia dibuang padang kali pertama dalam 226 penampilan antarabangsa.
FIFA menjatuhkan hukuman tiga perlawanan ke atas Ronaldo, dua daripadanya digantung manakala satu lagi dipenuhi ketika Portugal mengesahkan kelayakan ke Piala Dunia menentang Armenia.
“Selaras artikel 27 Kod Disiplin FIFA, pelaksanaan dua perlawanan baki digantung di bawah tempoh percubaan selama setahun,” menurut kenyataan FIFA.
“Sekiranya Cristiano Ronaldo melakukan kesalahan serupa dalam tempoh percubaan, penggantungan disiplin akan terbatal secara automatik dan dua perlawanan baki perlu dipenuhi serta-merta ketika aksi rasmi Portugal seterusnya.”
Ronaldo, penjaring terbanyak dalam sejarah bola sepak antarabangsa dengan 143 gol, menyasarkan penampilan keenam pada Piala Dunia musim panas depan di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.
Bekas penyerang Real Madrid dan Manchester United itu kini beraksi bersama Al-Nassr di Arab Saudi.
Walaupun belum pernah memenangi Piala Dunia, Ronaldo mengemudi Portugal muncul juara Euro 2016.
Ronaldo menghadiri majlis makan malam di Rumah Putih minggu lalu dan bertemu Presiden AS, Donald Trump yang menyatakan anaknya Barron “adalah peminat tegar” penyerang itu.
Undian peringkat kumpulan Piala Dunia akan diadakan pada 5 Disember ini. – AFP
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001