PUTRAJAYA – Peletakan jawatan Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin sebagai Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri disifatkan sebagai langkah tepat, namun tidak boleh dijadikan alasan untuk menghentikan atau mengelakkan proses siasatan terhadap sebarang dakwaan yang timbul.
Ketua Setiausaha Sekretariat Orang Melayu, Datuk Wira Marzuki Yahya dalam satu kenyataan hari ini, menegaskan tindakan meletakkan jawatan bukan bermakna seseorang itu terlepas daripada kebertanggungjawaban awam.
Menurut beliau, peletakan jawatan perlu difahami sebagai pengakuan bahawa jawatan dalam kerajaan adalah amanah, bukannya hak mutlak.
“Peletakan jawatan sama sekali tidak boleh dijadikan laluan untuk mengelakkan proses siasatan atau menutup persoalan yang telah timbul.
“Kerajaan yang mendukung prinsip integriti pula wajib memastikan setiap dakwaan salah guna kuasa, salah laku atau penyalahgunaan kedudukan disiasat oleh pihak berkuasa, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Ini kerana rakyat berhak mengetahui kebenaran dan prinsip kebertanggungjawaban tidak boleh sekadar menjadi slogan tanpa tindakan tegas,” katanya.
Menurutnya, institusi penyiasatan mesti diberi ruang sepenuhnya untuk menjalankan tugas tanpa campur tangan politik, tekanan atau kompromi.
Marzuki turut memberi amaran agar budaya “undur dan selesai” tidak dibiarkan berakar dalam pentadbiran negara, kerana ia hanya akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap integriti kerajaan.
Beliau menegaskan, mana-mana individu yang memegang amanah awam perlu bersedia disiasat serta melalui proses undang-undang sewajarnya.
“Hanya dengan ketelusan dan tindakan tegas terhadap salah laku, pentadbiran negara dapat terus dihormati dan dipercayai,” ujarnya.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan mengenai peletakan jawatan Shamsul Iskandar seperti yang dilaporkan media semalam.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
