KUALA LUMPUR – Shamsul Iskandar Mohd Akin hari ini, mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali gus menamatkan hampir dua tahun khidmatnya di Pejabat Perdana Menteri.
Menurut beliau, surat rasmi peletakan jawatan itu telah diserahkan sendiri kepada Perdana Menteri pagi tadi dan keputusan itu dibuat selepas menilai tekanan politik serta beberapa dakwaan menurutnya bersifat serangan peribadi, yang berpotensi menjejaskan imej kerajaan Madani.
Dalam kenyataan yang dimuat naik melalui platform X, Shamsul mengakui wujud cubaan tertentu untuk memalitkan namanya dengan isu yang boleh menggugat integriti dirinya serta pentadbiran kerajaan.
Beliau menegaskan, tindakan melepaskan jawatan adalah langkah terbaik bagi membolehkannya mempertahankan diri secara lebih bebas daripada kedudukan rasmi dalam kerajaan.
“Justeru, saya mengambil keputusan untuk mempertahankan diri saya daripada serangan ini… Saya ucapkan terima kasih kepada PM di atas kepercayaan yang diberikan kepada saya,” tulisnya dalam hantaran tersebut, sambil menyatakan penghargaan terhadap peluang dan amanah yang dipikul sejak dilantik.
Peletakan jawatan Shamsul berlaku susulan kontroversi yang tercetus sebelum ini apabila Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mendakwa Setiausaha Politik Perdana Menteri itu telah mengeluarkan surat sokongan bagi sebuah projek pembinaan hospital pada tahun 2024.
Dakwaan tersebut mencetuskan kritikan dan tekanan politik, malah Rafizi turut mendesak agar Shamsul dipecat daripada jawatan kanan di Pejabat Perdana Menteri.
Isu itu turut mendapat perhatian Anwar, yang mana pada 21 November lalu, beliau menyatakan tiada keperluan untuk pihaknya membuat laporan lanjut mengenai tindakan Shamsul, memandangkan teguran tegas telah pun diberikan sebelum itu.
Anwar turut mengesahkan, amalan mengeluarkan surat sokongan adalah bertentangan dengan peraturan dan beliau telah memberikan amaran keras berhubung perkara itu.
Shamsul, yang juga bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya mula menggalas tanggungjawab sebagai Setiausaha Politik Perdana Menteri pada 23 Disember 2022.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau sering dilihat sebagai antara tokoh yang dekat dengan agenda reformasi kerajaan Madani.
Peletakan jawatan itu dijangka mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pemerhati politik, memandangkan ia melibatkan individu yang pernah menjadi sebahagian daripada kepimpinan strategik dalam pentadbiran Anwar.
Namun, Shamsul menegaskan, beliau akan terus mempertahankan reputasinya serta memastikan segala dakwaan terhadap dirinya dapat dijelaskan dengan sewajarnya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
