PRABN keluarkan amaran banjir untuk Tumpat mulai Khamis

KOTA BHARU – Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan “Amaran Banjir” bagi beberapa kawasan di Tumpat, yang dijangka mengalami banjir bermula Khamis dan Jumaat ini.

PRABN dalam kenyataan semalam memaklumkan, berdasarkan status paras air sungai yang diramal meningkat dan melebihi aras bahaya, banjir berkemungkinan berlaku di tiga lokasi dalam jajahan berkenaan.

“Antara kawasan berisiko ialah kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer dari Sungai Kelantan meliputi Padang Rokma, Bechah Temalang dan Chenderong Batu.

“Turut dijangka terjejas ialah kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer dari Sungai Golok di Kampung Kok Kebit dan Taman Sri Bayu,” menurut kenyataan PRABN.

Seterusnya, banjir dijangka berlaku di beberapa kampung rendah sekitar Sungai Golok termasuk Kampung Pak Keral, Kok Bedullah, Nechang, Pauh Sebanjar, Neting, Tujuh, Kubang Sawa, Kajang Sebidang, Telok Jering, Naga Ibu, Pisau Raut, Bendang Pak Yong dan Simpangan.

PRABN turut menasihatkan semua penduduk di kawasan terbabit supaya berwaspada, mengikuti arahan agensi pengurusan bencana dan mendapatkan maklumat lanjut melalui laman sesawang PublicInfoBanjir serta Facebook @PublicInfoBanjir. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *