Sunting Ucapan Trump: Ketua Pengarah, ketua berita BBC letak jawatan

LONDON – Ketua Pengarah British Broadcasting Corporation (BBC), Tim Davie dan Ketua Berita, Deborah Turness, meletakkan jawatan berikutan tuduhan berat sebelah terhadap penyiar Britain itu, termasuk cara ia menyunting ucapan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

BBC menghadapi tekanan meningkat selepas laporan dalaman oleh bekas penasihat piawaian organisasi itu bocor kepada akhbar Daily Telegraph, mendedahkan kelemahan dalam liputannya mengenai perang Israel-Hamas, isu transgender dan ucapan Trump.

Trump menyambut baik peletakan jawatan itu, menyifatkan kedua-duanya sebagai “orang yang sangat tidak jujur” selepas program dokumentari Panorama menyunting dua bahagian berasingan ucapannya sehingga kelihatan seolah-olah beliau menggalakkan rusuhan di Capitol Hill pada Januari 2021.

Tim Davie, yang mengetuai BBC sejak 2020, mempertahankan organisasi itu sebagai “piawaian emas kewartawanan dunia”, namun mengakui “kesilapan telah berlaku dan tanggungjawab tertinggi terletak pada dirinya.”

Deborah Turness turut meletakkan jawatan sebagai Ketua Eksekutif Berita BBC, dengan menyatakan dalam e-mel kepada kakitangan: “Saya ingin nyatakan dengan jelas bahawa dakwaan BBC News bersifat berat sebelah secara institusi adalah tidak benar.”

BBC kekal antara jenama berita paling dipercayai di Britain dan memiliki pengaruh besar di dalam serta luar negara.

Namun, organisasi yang dibiayai melalui yuran lesen tv awam itu sering menjadi sasaran kritikan — termasuk daripada media nasional dan pihak di media sosial — yang menentang model pembiayaan dan dianggap condong ke arah liberal.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, BBC dituduh gagal mengekalkan prinsip laporan tidak berpihak, di tengah-tengah persekitaran politik dan budaya yang semakin tegang.

Laporan dalaman yang bocor itu mendakwa BBC Arabic menunjukkan bias anti-Israel dalam liputannya mengenai perang Gaza dan bahawa usaha untuk melaporkan kumpulan yang memperjuangkan ruang khusus jantina telah disekat oleh segelintir kakitangan yang menganggapnya anti-transgender.

BBC juga sebelum ini terpalit dengan beberapa skandal, termasuk:

* Penggantungan Gary Lineker, penyampai sukan paling bergaji tinggi ketika itu kerana mengkritik dasar imigresen kerajaan — yang mencetuskan boikot besar-besaran oleh kru sukan BBC.

* Kecaman kerana menyiarkan persembahan duo punk-rap Bob Vylan yang melaungkan slogan menentang tentera Israel di Glastonbury.

* Penarikan balik dokumentari tentang Gaza kerana melibatkan anak kepada timbalan menteri dalam kerajaan Hamas.

Dalam dokumentari Panorama tahun lalu, Trump ditunjukkan dengan berkata kepada penyokongnya, “kita akan berarak ke Capitol” dan “berjuang habis-habisan.”

Namun, kenyataan itu sebenarnya diambil daripada dua bahagian berbeza dalam ucapannya.

Dalam konteks sebenar, Trump berkata, penyokongnya akan “bersorak menyokong senator dan ahli kongres kita yang berani.”

Dalam kenyataan di media sosial, Trump menuduh kedua-dua eksekutif BBC itu cuba mempengaruhi pilihan raya presiden AS dengan menulis:”Tambahan pula, mereka datang dari negara asing — yang ramai anggap sekutu nombor satu kita. Sungguh buruk untuk demokrasi!”

Menteri Kebudayaan Britain, Lisa Nandy, mengucapkan terima kasih kepada Davie atas kepimpinannya, menyatakan beliau telah menerajui BBC dalam era perubahan besar.

Sumber dalaman berkata keputusan Davie mengejutkan lembaga BBC dan beliau akan kekal beberapa bulan sementara pengganti baharu dicari.

Davie menegaskan BBC perlu dipertahankan, bukan dijadikan senjata politik kerana peranannya penting dalam membina masyarakat sihat dan sektor kreatif yang kukuh.

Namun beliau mengakui beban tugas dan tekanan peribadi yang dihadapi selama ini, menyifatkan keputusannya sebagai hasil daripada “refleksi mendalam terhadap tuntutan intensif dalam suasana penuh ketegangan politik.”

BBC kini bersiap untuk rundingan piagam baharu dengan kerajaan pada 2027 bagi menjamin pembiayaannya, di tengah-tengah gelombang kritikan dan krisis reputasi.

Pengerusi BBC, Samir Shah, dijangka memohon maaf kepada Parlimen Britain pada Isnin berhubung kekecohan berkenaan. – REUTERS

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *