MetMalaysia keluarkan nasihat taufan Fung-Wong, amaran cuaca buruk di beberapa negeri

KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan nasihat berkaitan Taufan Fung-Wong yang dikesan berada kira-kira 129 kilometer ke barat daya Vigan City, Filipina, awal pagi tadi.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan taufan itu bergerak ke arah barat laut dengan kelajuan 30 kilometer sejam (km/j), dengan kelajuan angin maksimum direkodkan pada 120km/j.

“Taufan Fung-Wong kini berada pada kedudukan latitud 17.4 darjah utara dan longitud 119.2 darjah timur, kira-kira 1,196km ke timur laut Kudat, Sabah,” menurut kenyataan itu.

Keadaan itu boleh menyebabkan angin kencang dan laut bergelora di beberapa kawasan perairan Laut China Selatan.

Selain itu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka berlaku di beberapa negeri iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan serta Johor hingga 12 tengah hari ini.

Antara kawasan terbabit di Kedah ialah Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Yan, Pendang, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu; manakala di Perak membabitkan Kerian, Larut, Matang dan Selama, Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk serta Hilir Perak.

Di Selangor, cuaca buruk dijangka berlaku di Sabak Bernam, Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Sepang; di Negeri Sembilan melibatkan daerah Jelebu dan Seremban; manakala di Johor membabitkan Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *