Masjid Imanul Fa’izin Terus Perkasa Peranan Didik Generasi Muda Berakhlak

KOTA BHARU – Masjid Imanul Fa’izin Padang Kala, Kelantan akan terus memperkukuh peranan institusi masjid sebagai pusat pembentukan generasi muda berakhlak dan berdisiplin tinggi.

Menurut Pengerusinya, Nik Saiful Adli Burhan, masjid ini konsisten menganjurkan pelbagai program pembangunan sahsiah dan tarbiah khususnya untuk anak-anak muda di seluruh negeri Kelantan.

Antara inisiatif terbesar tahun lalu ialah Program Umrah Percuma Anak Muda Kelantan yang berjaya menghimpunkan seramai 80 anak muda tempatan menjalani latihan solat berjemaah selama 30 hari di masjid tersebut sebelum berangkat menunaikan umrah pada Disember lalu.

Bagi tahun ini, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. sekali lagi memberi kepercayaan kepada pihak masjid untuk menaja 80 jemaah muda menunaikan umrah secara percuma.

Penyertaan kali ini dibuka kepada anak muda jati Kelantan berusia antara 20 hingga 35 tahun yang masih bujang, dengan keutamaan diberikan kepada mereka dari daerah Gua Musang, Jeli, Kuala Krai, Machang, Tanah Merah dan Rantau Panjang, daerah yang belum pernah menyertai program sebelum ini.

Pemilihan peserta akan dibuat melalui temuduga khas yang dijadualkan pada 14 hingga 16 November 2025, manakala jemaah terpilih dijangka berlepas ke Tanah Suci pada 4 Januari 2026. Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui pautan http://bit.ly/umrahanakmudakelantan2025

Beliau mengumumkan perkara itu di Masjid Imanul Fa’izin ketika melancarkan siri program Kem Bestari Solat, yang akan dijalankan secara kerjasama dengan sekolah-sekolah sekitar bagi memperkukuh kefahaman dan amalan solat dalam kalangan pelajar.

Program ini menggunakan modul rasmi Kem Bestari Solat Kementerian Pendidikan Malaysia dengan bimbingan tenaga pengajar daripada masjid.

Siri pertama telah diadakan semalam bersama pelajar-pelajar pendidikan khas dari SMK Ketereh, melibatkan 83 pelajar dan 13 guru yang dijadiri sendiri oleh Penolong Kanan Pendidikan Khas SMK Ketereh, Juhairah Juzailah Abdullah.

Nik Saiful Adli berkata, Masjid Imanul Fa’izin akan terus menjadi medan pendidikan dan pembentukan rohani anak muda, dengan lebih banyak program akan dilaksanakan pada masa hadapan.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. atas sokongan berterusan dalam menjayakan hampir keseluruhan program yang dilaksanakan oleh masjid.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *