Hujan sejak 7 malam cetus banjir kilat di Gua Musang

GUA MUSANG – Beberapa jalan dan kawasan di daerah ini dinaiki air susulan hujan lebat sejak 7 malam tadi, lapor wartawan Harian Metro.

Difahamkan, Jalan Gua Musang-Jelawang dekat Ibu Pejabat Polis (IPD) Gua Musang dan Persimpangan Bendahara di Jalan Gua Musang-Kuala Krai ditenggelami air sehingga menyebabkan banyak kenderaan terkandas.

Selain itu, jalan masuk ke KESEDAR Chalil juga turut dinaiki air sehingga tidak selamat untuk dilalui kenderaan ringan.

Pengguna jalan raya, Zulkifli Yahya, 45, berkata, dia terpaksa berpatah balik selepas air naik mendadak ketika melalui Jalan Gua Musang-Jelawang dekat lampu isyarat IPD Gua Musang.

Katanya, keadaan air yang dalam dan berarus hanya boleh dilalui oleh kenderaan berat.

“Saya dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Kundur, namun kerana hujan terlalu lebat, ketika saya sampai di lokasi air sudah melimpah di atas jalan.

“Tidak berani mengambil risiko, jadi saya berpatah balik dan menunggu. Hujan masih belum berhenti, tidak pasti bila akan surut,” katanya.

Selain itu, di Felda Chiku 5 pula, penduduk mula melakukan persiapan disebabkan banjir.

Menerusi perkongsian beberapa gambar dan video yang tular, terdapat beberapa rumah penduduk sudah dinaiki air.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *