PETALING JAYA – Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) menolak rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ke atas hukuman yang dikenakan ke atas badan bola sepak kebangsaan itu dan tujuh pemain warisan.
Akibatnya, pasukan kebangsaan akan dipotong mata dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027 yang sedang berlangsung.
Menurut Fifa, jawatankuasa rayuan memutuskan untuk menolak rayuan dan ‘mengesahkan sepenuhnya’ hukuman ke atas FAM dan tujuh pemain terbabit.
“FAM dan para pemain telah dimaklumkan mengenai terma-terma keputusan ini pada hari ini,” katanya dalam kenyataan.
“Pihak terbabit diberi tempoh 10 hari bagi memohon keputusan disertakan alasan (motivated decision), dan berikutan notis ini, mereka mempunyai 21 hari untuk memfailkan rayuan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).”
Sementara itu, Pemangku Presiden Yusoff Mahadi mengumumkan FAM akan menulis kepada Fifa untuk mendapatkan butiran penuh serta alasan bertulis keputusan tersebut sebelum mengemukakan rayuan ke CAS.
“Ini kali pertama FAM berdepan dengan situasi seperti ini, dan pihak peguam serta pengurusan kami amat terkejut dengan keputusan tersebut.
“FAM akan terus teguh memperjuangkan hak para pemain dan kepentingan bola sepak Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.
FAM dan tujuh pemain bola sepak warisan Malaysia didenda oleh Fifa bulan lalu, selepas badan bola sepak dunia itu berkata FAM mengemukakan dokumen palsu untuk mengesahkan kelayakan tujuh pemain tersebut sebelum perlawanan Malaysia menentang Vietnam sempena kelayakan Piala Asia 2027 pada 10 Jun.
FAM didenda 350,000 franc Swiss (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda 2,000 franc Swiss (kira-kira RM10,560) dan digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa dari tarikh makluman.
Tujuh pemain tersebut terdiri daripada Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
FAM memfailkan rayuan terhadap keputusan Fifa selepas menerima penghakiman penuh badan bola sepak dunia itu pada 7 Okt.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

                        
                        
                        
                        
                        
                        
                        
                        
                        
                        