Ragbi Satukan Alumni SMK Sultan Sulaiman Sempena Sambutan Seabad Gemilang

KUALA TERENGGANU – Sambutan Seabad Gemilang sempena ulang tahun ke-100 penubuhan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman (SMKSS) mencipta detik bersejarah apabila berjaya menghimpunkan semula bekas pemain ragbi sekolah itu dalam satu kejohanan khas yang penuh nostalgia.

Walaupun dianjurkan secara sederhana, program itu tetap meriah dengan penyertaan kira-kira 60 bekas pemain yang hadir bersama ahli keluarga masing-masing.

Kejohanan itu bukan sahaja menjadi medan untuk beraksi, tetapi juga ruang mempererat silaturahim antara bekas pelajar daripada pelbagai generasi.

“Tujuan kami bukan untuk membuktikan siapa yang lebih hebat, sebaliknya bagi mengembalikan kenangan zaman persekolahan dan mengukuhkan semangat kekeluargaan antara kami,” kata Che Mohd Zulkarnain Abdul Wahab, bekas pelajar yang memulakan persekolahan di SMKSS pada tahun 1987.

Beliau turut melahirkan rasa terharu kerana dapat kembali beraksi di padang yang penuh kenangan, mewakili rumah sukan masing-masing seperti zaman persekolahan dahulu.

Menariknya, penggerak utama penganjuran kejohanan itu ialah pengetua sekolah sendiri, yang juga merupakan bekas pelajar SMKSS.

“Sebagai bekas pelajar dan kini pengetua, saya melihat penganjuran ini sebagai tanggungjawab sosial untuk merapatkan hubungan antara alumni.

“Ramai sanggup datang dari jauh semata-mata untuk bersama meraikan sejarah 100 tahun sekolah tercinta ini,” kata Mohd Fadzli Yusoff, 56, yang juga antara tokoh penting dalam perkembangan ragbi negara dan pernah bertugas sebagai pengadil di kejohanan antarabangsa.

SMK Sultan Sulaiman sememangnya terkenal sebagai antara sekolah yang banyak melahirkan atlet cemerlang dalam pelbagai bidang sukan, termasuk ragbi, yang menjadi tradisi kebanggaan sekolah sejak berdekad lalu.

Kejohanan yang dinamakan “Touch Rugby Alumni SMKSS” itu menampilkan empat pasukan mewakili rumah sukan tradisi sekolah iaitu Indera, Laksamana, Mahkota dan Paduka.

Dalam perlawanan akhir yang berlangsung penuh semangat kesukanan, pasukan Indera dinobatkan sebagai juara selepas menewaskan Paduka, manakala Mahkota meraih tempat ketiga dan Laksamana di tempat keempat.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *