Kes tembak di Golok: ‘Menantu masih dalam keadaan sedih, trauma’ – Ibu mangsa

PASIR MAS – ‘Menantu saya yang sarat mengandung masih dalam keadaan terkejut, trauma dengan kejadian yang berlaku sehingga tidak mampu berada di rumah saya kerana terbayangkan arwah suaminya,” kata Zaiton Abdul Rahman, ibu Mohd Fuad Fahmie Ghazali, 33, yang maut ditembak di Golok, Thailand, petang kelmarin, lapor Berita Harian.

Zaiton, 64, yang juga pesara guru berkata, keadaan itu menyebabkan menantunya, Wan Fatihah Mat Husin, 35, terpaksa kembali ke rumah ibunya di Golok, Thailand, malam tadi.

“Selepas majlis pengebumian Mohd Fuad petang semalam, keadaan menantu saya masih dalam keadaan sangat sedih dan trauma kerana kejadian yang sangat tragik itu berlaku di depan matanya.

“Dia masih terbayangkan keadaan suaminya yang ditembak bertalu-talu dan pada masa sama mempertahankan isterinya kerana bimbang peluru mengenai isteri yang sarat mengandung.

“Itu yang menantu beritahu ketika kami bercakap dan dia tidak mampu menceritakan lebih kerana masih trauma dan di rumah saya pun dia tidak boleh masuk ke bilik mereka kerana terbayangkan Mohd Fuad masih ada,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, katanya, dia akan mengambil menantunya di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang petang ini.

“Esok dan Rabu menantu perlu berjumpa doktor bagi menjalani pemeriksaan kandungan. Insya-Allah jika diizinkan menantu akan bersalin di sini dan berpantang di rumah saya.

“Apa yang saya doakan semoga keluarga kami semua kuat berdepan kehilangan ini,” katanya.

Pada masa sama, Zaiton berkata, pihak berkuasa Thailand memaklumlan kepada menantunya bahawa polis sudah berjaya mengesan kedudukan pembunuh yang menembak anaknya.

Bagaimanapun katanya, dia menyerahkan kepada polis berhubung perkara itu dan berharap pelaku kepada anaknya itu menerima hukuman setimpal.

Semalam media melaporkan, rakyat Malaysia yang juga peniaga beg dan batu permata maut selepas dipercaya ditembak 18 das oleh dua individu dikenali di rumahnya di Golok, Thailand.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Golok jam 9 malam.

Sementara itu, Polis mengesahkan suspek dalam kes seorang lelaki Malaysia ditembak mati di pekan Sungai Golok, semalam, adalah bekas pemain import bola sepak Kelantan.

Mohd Yusoff dilantik Ketua Polis Kelantan yang baharu
Mohd Yusoff dilantik Ketua Polis Kelantan yang baharu

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, ia berdasarkan hasil siasatan dalaman dijalankan pegawainya.

Beliau berkata, pihaknya telah melancarkan operasi memburu suspek yang dipercayai mempunyai dua kewarganegaraan.

“Berdasarkan hasil siasatan, kami berjaya mengenal pasti suspek yang merupakan bekas pemain import bola sepak negeri ini.

“Selain mengadakan sekatan jalan raya, saya juga telah mengarahkan semua agensi yang mengawal sempadan supaya memperketatkan pemantauan,” katanya kepada NST.

Mengenai mangsa bunuh pula, Mohd Yusoff berkata, hasil pemeriksaan mendapati lelaki berusia 33 tahun itu mempunyai empat rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.

“Mangsa didapati terbabit penyalahgunaan dan pemilikan dadah sejak 2020.

“Dia juga didapati memasuki Thailand dengan menggunakan pas sempadan, pagi semalam,” katanya.

Ditanya sama ada motif insiden itu mempunyai kaitan dengan hutang berkait dadah pula, Mohd Yusoff berkata, pihaknya menyerahkan kepada pihak berkuasa Thailand untuk menyiasat perkara berkenaan.

Terdahulu, media melaporkan rakyat Malaysia dikenali sebagai Mohd Fuad Fahmie Ghazali, 33, parah ditembak lapan kali selepas dikatakan berlaku pertengkaran sekitar jam 6.40 petang semalam.

Susulan itu, mangsa dihantar ke Hospital Sungai Golok untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia, malam tadi.

Isteri mangsa yang sedang sarat mengandung dilaporkan berkata, suaminya terkena sebanyak 18 das tembakan, berdasarkan hasil pemeriksaan pihak hospital.

Dalam insiden berkenaan, wanita itu dipetik berkata, beliau dan suaminya didatangi dua individu yang melepaskan tembakan sehingga peluru habis sebelum melarikan diri.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *