Gabungan Baharu “Ikatan Prihatin Rakyat” Ditubuhkan, Angkat Tema Perjuangan ‘Selamatkan Malaysia’

SHAH ALAM – Beberapa parti politik di luar blok kerajaan hari ini menubuhkan sebuah gabungan baharu dikenali sebagai Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) dalam satu sidang meja bulat yang diadakan petang tadi.

Gabungan itu, yang membawa tema perjuangan “Selamatkan Malaysia”, merupakan kesinambungan daripada sidang pertama yang diadakan pada 18 Ogos lalu.

Antara isu utama dibincangkan termasuk Belanjawan 2026, Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA), Akta Perolehan Kerajaan, keselamatan pelajar sekolah dan perkembangan terkini di Gaza.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas mesyuarat itu, IPR berpandangan, Belanjawan 2026 yang dibentangkan Kerajaan Madani gagal menangani beban ekonomi rakyat, malah hutang negara yang mencecah RM1.6 trilion dilihat menyukarkan usaha pembangunan baharu dan mengekang pertumbuhan hasil negara.

Dalam isu antarabangsa, IPR menegaskan pendirian tegas agar Kerajaan Malaysia membatalkan jemputan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hujung bulan ini.

Gabungan itu menyifatkan Trump sebagai “sekutu utama dalam genosid Zionis Israel” dan mendakwa kehadirannya bercanggah dengan prinsip kemanusiaan dan kedaulatan ASEAN.

IPR turut menyatakan sokongan kepada misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang membawa bantuan ke Gaza serta mengecam tindakan tentera Israel yang menghalang kemasukan pasukan bantuan tersebut.

Dalam isu domestik, gabungan itu menyuarakan penolakan terhadap RUU URA kerana didakwa tidak menjamin hak pemilik hartanah dan boleh menjejaskan warisan serta demografi asal kawasan pembangunan semula.

IPR turut menggesa Akta Perolehan Kerajaan ditangguhkan pelaksanaannya atau diletakkan di bawah moratorium sementara kajian mendalam dilakukan bagi mengelakkan potensi salah guna kuasa.

Isu keselamatan pelajar juga mendapat perhatian khusus, yang mana gabungan itu menzahirkan kebimbangan terhadap kes buli, keganasan dan rogol yang semakin meningkat serta mendesak Kementerian Pendidikan melakukan rombakan menyeluruh terhadap sistem pendidikan bagi memastikan sekolah menjadi tempat yang benar-benar selamat.

IPR turut meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memperketat kawalan terhadap penyebaran kandungan berunsur jenayah dan keganasan di media sosial.

Mesyuarat turut bersetuju menganjurkan Kongres Nasional Ikatan Prihatin Rakyat pada awal tahun 2026, bagi membincangkan hala tuju perjuangan dan pendirian gabungan dalam menangani isu rakyat serta memastikan Malaysia kekal berdaya saing di peringkat serantau dan global.

Gabungan IPR ini dianggotai 11 parti politik termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden BERSATU), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (Timbalan Presiden PAS), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai (Presiden GERAKAN), Punithan Paramsiven (Presiden MIPP), Zamani Ibrahim (Presiden BERJASA), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Presiden PEJUANG).

Turut serta, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali (Presiden PUTRA), Amira Aisya Abdul Aziz (Pemangku Presiden MUDA), Waytha Moorthy Ponnusamy (Presiden MAP), Datuk Mohd Ismail Mohd Ibrahim (Pemangku Presiden IMAN) dan Prof Dr. P. Ramasamy (Pengerusi Interim URIMAI).

Gabungan itu menegaskan komitmen mereka untuk menjadi wadah politik alternatif bagi memperjuangkan nasib rakyat dan mengembalikan kestabilan negara. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *