SHAH ALAM – Malaysia kini berdepan detik paling memalukan dalam sejarah bola sepak negara selepas Jawatankuasa Disiplin FIFA mendedahkan keputusan penghakiman sepanjang 19 muka surat bertarikh 25 September lalu, yang mendapati terdapat unsur pemalsuan dokumen dalam proses pendaftaran tujuh pemain naturalisasi skuad bola sepak kebangsaan.
Dalam alasan penghakiman 68 perenggan itu, FIFA menyatakan secara jelas dokumen sijil kelahiran asal dikemukakan kepada badan induk dunia itu menunjukkan percanggahan ketara dengan dokumen disediakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Menurut FIFA, dokumen dibekalkan FAM telah dipalsukan, satu dakwaan serius yang bukan sahaja menunjukkan kecuaian, malah membayangkan salah laku jenayah.
Antara tuduhan disebut termasuk pemalsuan dokumen rasmi, penipuan serta representasi palsu iaitu pelanggaran terhadap semangat kesukanan yang menjadi tunjang bola sepak dunia.
Ketua Penerangan Parti Pejuang, Rafique Rashid dalam kenyataannya menyifatkan, situasi itu sebagai international embarrassment dan menegaskan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak boleh berdiam diri dengan alasan FAM ialah badan bebas.
“KBS perlu bertanya dan menyiasat FAM. Ini soal maruah negara. Begitu juga Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengurus hal ehwal kewarganegaraan dan dokumentasi pengenalan diri.
“Adakah individu ini benar-benar layak menjadi warganegara di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan? Adakah mereka bermastautin di Malaysia, fasih dalam bahasa Melayu atau mendapat layanan istimewa? FIFA sendiri mempersoalkan perkara ini,” tegasnya.
Rafique turut menimbulkan persoalan mengenai kesahihan dokumen lama yang digunakan dalam proses tersebut, termasuk dakwaan sijil kelahiran datuk dan nenek pemain yang didakwa mengandungi nama “Malaysia”, walhal negara hanya terbentuk pada tahun 1963.
“Kalau sijil lahir tahun 30-an pun tertulis ‘Malaysia’, bukankah itu mencurigakan? Siapa yang buat? Siapa yang arahkan?

“Justeru, siasatan penuh perlu dijalankan bagi mengenal pasti pihak yang terlibat dalam penyediaan dan kelulusan dokumen tersebut.
“Ini bukan isu teknikal. Ini jenayah pemalsuan dokumen kewarganegaraan. Jika benar FIFA membuktikan tujuh pemain ini menggunakan dokumen palsu, bagaimana rakyat boleh yakin tiada kes lain berlaku?” soalnya.
Rafique turut mengingatkan, FAM sebelum ini pernah merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas “usaha memudahcara” proses naturalisasi pemain-pemain tersebut.
“Apa bentuk bantuan dan arahan pemudahcara itu? Semua pihak kini terpalit,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, bola sepak adalah milik rakyat dan lambang semangat fair play, namun keputusan FIFA itu menjadikan Malaysia bahan jenaka di peringkat antarabangsa.
“Demi jalan pintas ke arah kejayaan, kita kini dilayangkan kad merah oleh FIFA. Untuk naik ranking bola sepak, kita turunkan ranking integriti negara di mata dunia,” katanya.
Beliau menegaskan, semua individu yang terlibat dalam pemalsuan dan penipuan dokumen mesti dipanggil serta disiasat segera.
“Jika kita terus lepas tangan, Malaysia bukan sekadar kalah di padang — kita kalah pada prinsip, maruah, dan integriti,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
