ATHENS – Aktivis alam sekitar Sweden, Greta Thunberg, akan menjadi antara lebih 70 individu pelbagai kewarganegaraan yang dibenarkan meninggalkan Israel pada Isnin selepas ditahan ketika menaiki flotilla bantuan Gaza yang dipintas tentera negara itu.
Menurut kerajaan masing-masing pada Ahad, kebanyakan mereka yang dibebaskan daripada tahanan Israel akan diterbangkan ke Greece sebelum pulang ke negara asal.
Kumpulan itu termasuk 28 warga Perancis, 27 (warga Greece), 15 (warga Itali) dan sembilan (warga Sweden).
Seramai 21 warga Sepanyol pula telah tiba di negara mereka pada Ahad.
Namun, masih terdapat beberapa warga asing yang kekal ditahan termasuk 28 warga Sepanyol.
Kesemua mereka menaiki 45 kapal flotilla Global Sumud yang membawa aktivis dan ahli politik dengan tujuan melepasi sekatan Israel untuk menghantar bantuan ke Gaza, di mana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan krisis kebuluran sedang berlaku.
Israel mula memintas kapal-kapal berkenaan di perairan antarabangsa pada Rabu lalu.
Seorang pegawai Israel berkata pada Khamis, lebih 400 individu dihalang daripada sampai ke wilayah Palestin itu.
Kementerian Luar Itali dan Greece mengesahkan warganegara mereka akan diterbangkan dari Israel ke Athens pada Isnin, manakala Menteri Luar Itali, Antonio Tajani berkata, 15 rakyat Itali itu akan dibantu untuk transit pulang ke tanah air.
Kementerian Luar Perancis pula memaklumkan, 28 rakyatnya akan diterbangkan ke Greece, sebahagian besar daripada 30 warga Perancis yang ditahan Israel.
Media Sweden melaporkan sembilan rakyatnya turut dijangka ke Greece meskipun Kementerian Luar Negara itu belum mengesahkan destinasi.
Sebelum ini, kumpulan pertama terdiri daripada 26 warga Itali telah pulang ke negara itu pada Sabtu, tetapi baki 15 lagi terpaksa menunggu proses pengusiran kehakiman selepas enggan menandatangani borang pelepasan sukarela.
Beberapa warga Itali mendakwa mereka menerima layanan yang sangat hina daripada pihak berkuasa Israel.
Wartawan Fanpage, Saverio Tommasi berkata, dia dipukul di bahagian belakang dan kepala ketika dalam tahanan.
“Kami dilayan seperti monyet tua dalam sarkas paling teruk era 1920-an,” katanya yang dipetik agensi berita Ansa.
Menteri Luar Sweden, Maria Malmer Stenergard memberitahu AFP, pegawai kedutaan mereka di Tel Aviv telah dibenarkan melawat sembilan rakyat Sweden berkenaan.
“Lewat Ahad, pihak berkuasa Israel memaklumkan bahawa mereka akan membenarkan rakyat Sweden meninggalkan Israel pada Isnin dengan penerbangan,” katanya.
Seorang warga Sepanyol, Rafael Borrego, yang selamat pulang pada Ahad turut mendakwa tahanan mengalami penderaan fizikal dan mental berulang kali, termasuk dipukul dan dipaksa berbaring di lantai.
Greta Thunberg dianiaya semasa dalam tahanan Israel, dakwa aktivis
DI ISTANBUL: Sebelum ini media antarabangsa melaporkan, Greta yang baru sahaja diusir dari Israel selepas menyertai flotila bantuan ke Gaza mendakwa aktivis iklim terkenal itu telah dianiaya secara fizikal dan psikologi semasa dalam tahanan oleh pihak berkuasa Israel.
Seramai 137 aktivis tiba di Lapangan Terbang Istanbul pada Sabtu, termasuk warga dari Malaysia, Amerika Syarikat, Itali, Kuwait, Tunisia, Libya dan Jordan.
Mereka merupakan sebahagian daripada lebih 450 orang yang ditahan selepas flotila Global Sumud yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza dipintas oleh tentera laut Israel.
Menurut wartawan Turkiye dan peserta flotila, Ersin Celik, beliau menyaksikan Thunberg “diseret di atas tanah” dan “dipaksa mencium bendera Israel.”
Dakwaan serupa turut dikemukakan oleh aktivis Malaysia Hazwani Helmi dan peserta dari Amerika Syarikat, Windfield Beaver, yang menyatakan bahawa Thunberg telah “digunakan sebagai propaganda” dan “dilayan dengan kejam.”
“Itu satu bencana. Mereka layan kami seperti haiwan,” kata Helmi, sambil menambah bahawa para tahanan tidak diberikan makanan, air bersih atau ubat-ubatan.
Beaver pula mendakwa Thunberg telah diasingkan ke sebuah bilik ketika Menteri Keselamatan Nasional Israel, Itamar Ben-Gvir, memasuki lokasi tahanan.
Wartawan Itali Lorenzo Agostino menyifatkan Thunberg sebagai “wanita berani berusia 22 tahun yang dihina dan dibalut dengan bendera Israel seperti trofi.”
Beberapa aktivis lain turut melaporkan keadaan sel yang kotor, dinding berdarah, dan mesej yang ditinggalkan oleh tahanan terdahulu.
Kumpulan hak asasi Israel, Adalah, yang memberikan bantuan guaman kepada para tahanan, berkata ramai aktivis dipaksa melutut dengan tangan bergari selama berjam-jam, dinafikan akses kepada peguam, air dan ubat-ubatan.
Namun, Kementerian Luar Israel menafikan semua dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai “pembohongan sepenuhnya.”
Jurucakap kementerian berkata semua tahanan diberikan makanan, air, akses kepada tandas dan hak guaman yang sewajarnya.
Insiden ini mencetuskan kecaman antarabangsa terhadap tindakan Israel memintas flotila bantuan yang bertujuan menyalurkan bekalan ke Gaza, yang kini berdepan krisis kemanusiaan akibat sekatan berterusan dan konflik bersenjata. – Agensi
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
