KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis Israel menyerang dan menahan kapal-kapal Global Sumud Flotilla, sebuah misi kemanusiaan yang membawa bantuan ke wilayah Gaza.
Ketua Penerangannya, Irwan Fahmi Ideris berkata, insiden itu merupakan satu bentuk jenayah perang yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa serta menafikan hak rakyat Palestin untuk menerima bantuan asas.
“Ini bukan sahaja tindakan tidak berperikemanusiaan oleh Israel, malah turut mendapat perlindungan dan sokongan daripada sekutu utamanya, Amerika Syarikat. Washington terus menjadi dalang yang membekalkan senjata dan dana kepada rejim Zionis,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut, Perkasa menuntut lima tindakan segera bagi menangani situasi ini, iaitu kerajaan Malaysia mengutuk tindakan Israel dan sekutunya serta menggerakkan usaha diplomatik segera di peringkat antarabangsa.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump tidak dialu-alukan di Malaysia selagi negaranya terus menjadi pembekal utama senjata kepada Israel dan Perkasa turut menggesa agar jemputan rasmi oleh Perdana Menteri ditarik balik demi menjaga maruah negara dan solidariti bersama rakyat Palestin.
Negara-negara yang warganya ditahan dalam misi Global Sumud Flotilla perlu menuntut pembebasan segera kesemua aktivis tanpa syarat.
Manakala Israel harus dibawa ke muka pengadilan antarabangsa, sama ada di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atau tribunal khas, atas jenayah perang dan pencabulan hak asasi manusia.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu mengambil tindakan tegas, termasuk menjatuhkan sekatan terhadap Israel dan menamatkan pengepungan di Gaza.
Perkasa turut menyatakan solidariti penuh terhadap para aktivis misi kemanusiaan dan rakyat Palestin, sambil menyeru umat Islam serta masyarakat antarabangsa agar bersatu menentang kezaliman Zionis dan sekutunya.
“Perkasa akan terus berdiri teguh bersama perjuangan rakyat Palestin,” tegas Irwan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001