KANGAR – Penganjuran Program Kembara Bahasa Menjulang Budaya di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampong Salang di sini, telah menjadi platform yang signifikan dalam memupuk semangat perpaduan serta mengeratkan hubungan serantau antara pelajar Malaysia dan Thailand.
Program tiga hari bermula Jumaat lalu, menghimpunkan lebih 240 peserta melibatkan pelajar dan guru kedua negara.
Penyertaan ialah 150 pelajar Kelab Rukun Negara SK Kampong Salang, 25 pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Kangar, 25 pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Hwa Aik, Arau; 40 pelajar dan 30 guru pengiring dari Bankhun School, Satun, Thailand.
Majlis perasmian malam kelmarin disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Haslina Abdul Hamid yang turut menyatakan, program itu berperanan penting dalam memperkukuh semangat serantau dan nilai murni dalam kalangan generasi muda.
“Program begini amat penting kerana membuka ruang untuk saling mengenali budaya, adat resam, bahasa dan cara hidup masyarakat di negara jiran.
“Perbezaan bukanlah jurang pemisah, sebaliknya jambatan yang menyatukan kita atas dasar saling menghormati dan memahami,” katanya.
Tambah beliau, penganjuran program itu bukan sahaja menyokong usaha memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa serantau, malah membuka peluang kepada pelajar mendalami budaya dan nilai kehidupan masyarakat dari latar belakang yang berbeza.
“Saya yakin pelajar bukan sahaja dapat menimba ilmu dan pengalaman baharu, malah turut berpeluang memupuk nilai perpaduan, toleransi serta semangat kejiranan antarabangsa yang amat diperlukan dalam dunia hari ini yang semakin mencabar,” ujar beliau.
Haslina turut menjelaskan, pelaksanaan program itu juga seiring dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, yang mengangkat aspek kerjasama serantau khususnya dalam bidang pendidikan, kebudayaan dan perpaduan rakyat.
Dalam sidang media yang diadakan selepas majlis perasmian, Haslina turut menegaskan komitmen Kementerian Perpaduan Negara dalam memperkasakan penghayatan prinsip Rukun Negara di semua peringkat, termasuk sekolah, institusi pengajian tinggi dan komuniti.
“Rukun Negara bukan sekadar dokumen dasar, tetapi asas kepada pembentukan jati diri bangsa. Kita ingin melahirkan generasi yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga berdisiplin dan bertanggungjawab terhadap masyarakat serta negara,” katanya.
Program ini turut menampilkan pelbagai aktiviti kebudayaan dan pendidikan seperti bengkel bahasa, pertunjukan kebudayaan dua negara, lawatan sambil belajar serta sesi interaksi pelajar antara sekolah yang bertujuan memperkasa komunikasi dan kefahaman lintas budaya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001