Pasukan Debat Selangor Tampil Cemerlang di Pentas Akhir Debat Generasi MADANI

PUTRAJAYA – Pasukan debat dari Selangor mendapat pujian tinggi daripada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, susulan persembahan mantap mereka di pentas akhir Debat Generasi MADANI semalam.

Menurut beliau, pasukan Selangor menunjukkan prestasi luar biasa dengan hujah mantap, artikulasi lantang serta gaya penyampaian yang mampu menggegarkan pentas perdebatan.

“Pasukan Selangor adalah lawan yang hebat. Hujah mereka keras. Artikulasi mereka berapi. Gaya mereka bisa membenamkan lawan,” ujar beliau.

Lebih membanggakan, pasukan ini turut menampilkan kepelbagaian kaum dan latar belakang, menjadikan mereka cerminan sebenar semangat Generasi MADANI.

Walaupun tidak membawa pulang gelaran juara, Selangor tetap pulang dengan penuh kebanggaan apabila wakil mereka, Aydin, dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik Piala Menteri Pendidikan.

Fadhlina turut berkongsi bahawa beliau telah mengikuti perkembangan pasukan ini sejak awal pertandingan, terutama Aydin, yang turut mencuri perhatian semasa Bahas Piala Perdana Menteri.

“Aydin adalah bakat yang kami kepung sejak pertandingan akhir Bahas Piala Perdana Menteri. Luqman dan Faiz pula merupakan bakat baharu yang sedang meningkat naik. Nampaknya mereka akan terus mewarnai arena debat ini,” katanya.

Perhatian utama pentas akhir kali ini turut tertumpu kepada dua pendebat muda, Danial dan Ravin. Kedua-duanya memukau juri dan penonton dengan kelancaran serta ketajaman berhujah, tanpa mengira latar etnik mereka.

“Jika saya tutup mata dan hanya dengar suara mereka, saya tidak dapat meneka mereka adalah anak Cina dan India. Kepetahan mereka luar biasa!” puji beliau lagi.

Danial, yang baru Tingkatan 2, membuka gelanggang sebagai Perdana Menteri dengan penuh keyakinan dan santun.

Beliau mendapat bimbingan daripada Cikgu Hafizi, yang turut dikenali sebagai tokoh pendidik berpengalaman dalam dunia debat.

Manakala Ravin, yang bakal melangkah ke Tingkatan 5, menerima pesanan khas daripada Menteri agar terus aktif berdebat walaupun melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi kelak.

Walaupun tewas dengan majoriti tipis, pasukan Selangor membuktikan bahawa mereka adalah pencabar utama musim ini. Kegigihan dan semangat juang mereka menjadikan mereka antara pasukan paling dihormati sepanjang kejohanan berlangsung.

“Pasukan Selangor adalah pasukan paling kental untuk musim ini. Tahniah anak-anak Selangor! Jumpa lagi tahun hadapan!” ujar Fadhlina menutup kenyataan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *