Isu RUU URA: Antara Kepentingan Rakyat dan Kepentingan Pemodal

Dari Meja Editorial

Manzaidi

CADANGAN kerajaan untuk menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Pembangunan Semula Bandar (URA) telah mencetuskan pelbagai reaksi daripada rakyat dan organisasi masyarakat sivil.

Salah satu respons yang paling ketara adalah perhimpunan bantahan yang dijadualkan pada 4 Oktober ini, anjuran Parti Pas, yang menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap implikasi sosial dan ekonomi daripada RUU itu.

Bagi rakyat, khususnya golongan B40 dan M40 yang menghuni kawasan lama atau penempatan bandar berpendapatan rendah, RUU ini tidak dilihat sebagai usaha membangunkan semula kawasan terbengkalai, tetapi lebih kepada satu pendekatan untuk menggantikan penduduk asal dengan kelompok yang lebih berkemampuan, iaitu golongan T20 atau pelabur hartanah.

Persepsi ini diperkuatkan dengan ketiadaan perincian dalam draf awal berhubung perlindungan hak penghuni asal, proses penggantian tempat tinggal serta pampasan yang adil.

Ramai menyifatkan RUU ini sebagai satu strategi “halus” untuk mengalihkan komuniti miskin dari kawasan strategik bandar, yang berpotensi tinggi untuk pembangunan komersial.

Dengan kata lain, mereka merasakan seolah kerajaan sedang menukar “butang tempat duduk”, mengalihkan tempat golongan berpendapatan rendah untuk memberi laluan kepada pemaju dan pelabur kelas atasan.

Kecurigaan ini tidak boleh diketepikan begitu sahaja, lebih lagi apabila kerajaan tidak memberikan penjelasan menyeluruh mengenai mekanisme perlindungan sosial yang akan disediakan dalam pelaksanaan RUU ini.

Jika benar kerajaan berniat untuk membela rakyat dan membangunkan semula bandar secara inklusif, fokus utama seharusnya diberikan kepada masalah sebenar yang telah lama menghantui rakyat ialah projek perumahan terbengkalai.

Sehingga hari ini, ribuan pembeli rumah masih terperangkap dalam situasi menyedihkan. Mereka menanggung beban hutang bank untuk projek perumahan yang tidak pernah siap.

Lebih malang lagi, pemaju bertanggungjawab tidak dikenakan tindakan tegas yang setimpal. Kerajaan sewajarnya menggubal satu RUU khusus untuk menangani isu ini, termasuk:

Memberikan kuasa kepada kerajaan untuk menyita aset dan harta pemaju yang gagal.

Menetapkan tanggungjawab pampasan kepada pembeli melalui dana khas atau obligasi undang-undang.

Menyediakan saluran penyelesaian pantas kepada pembeli terjejas melalui tribunal khas perumahan.

Mewujudkan mekanisme audit ketat dan pemantauan berkala terhadap kemajuan projek perumahan oleh pemaju.

Langkah seperti ini lebih mencerminkan hasrat kerajaan yang benar-benar ingin membela nasib rakyat terbanyak, bukan sekadar mengutamakan pembangunan fizikal yang menguntungkan syarikat pemaju semata-mata.

Nga Kor Ming dari DAP, sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal perumahan dan kerajaan tempatan hari ini, atau mantan-mantan menteri dari kerajaan yang terdahulu dan menteri dari kerajaan akan datang, harus memberi perhatian serius terhadap suara-suara bantahan ini.

Kegagalan menangani persepsi negatif dan kekeliruan rakyat terhadap RUU ini akan hanya menambah jurang ketidakpercayaan antara kerajaan dan rakyat.

Malah, dalam konteks demokrasi yang sihat, bantahan rakyat bukan sekadar harus dihormati, tetapi juga dijadikan penanda aras untuk memperbaiki dasar yang bakal digubal.

Dialog terbuka, perundingan awam yang inklusif dan ketelusan maklumat merupakan prasyarat minimum bagi mana-mana dasar yang menyentuh hak tempat tinggal dan kesejahteraan rakyat.

Justeru, adalah tidak wajar bagi kerajaan melaksanakan RUU ini secara tergesa-gesa tanpa memahami denyut nadi masyarakat akar umbi.

Pembangunan semula bandar bukan hanya soal bangunan yang moden dan tersusun. Ia adalah soal keadilan sosial, kelangsungan komuniti dan hak asasi untuk hidup secara bermaruah di tanah sendiri.

Apa jua RUU yang bakal digubal oleh kerajaan haruslah mengambil kira dimensi kemanusiaan ini. Jika tidak, pembangunan yang dilaksanakan hanya akan menjadi simbol ketidaksaksamaan, mencantikkan fizikal bandar sambil mengabaikan isi hatinya rakyat.

Kerajaan harus menunjukkan bahawa pembangunan dan keadilan sosial boleh bergerak seiring, bukan bertentangan. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *