Advancecon, Surplusloop jalin kerjasama strategik

KUALA LUMPUR – Advancecon Holdings Bhd, penyedia perkhidmatan kerja tanah dan kejuruteraan awam, menjalin kerjasama jangka panjang dengan syarikat pemula SurplusLoop bagi meningkatkan kecekapan pengurusan aset lebihan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan automasi.

Melalui pendekatan berstruktur, Advancecon berjaya memaksimumkan nilai aset terbiar seperti mesin, peralatan dan bahan binaan, sekali gus mengurangkan sisa dan kesan alam sekitar, seiring dengan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kumpulan itu.

Sejak mula diperkenalkan pada awal tahun ini, SurplusLoop membantu Advancecon mengagihkan semula 42 aset serta menjual semula lebihan mesin, peralatan dan alat ganti bernilai RM2.5 juta.

Usaha itu mengalihkan lebih 840 tan sisa daripada tapak pelupusan dan mengelakkan pelepasan kira-kira 4,200 tan karbon dioksida, bersamaan penyerapan karbon oleh 210,000 pokok setahun.

Dengan rangka kerja ASSET SurplusLoop yang dikuasakan AI, Advancecon menikmati kecekapan baharu termasuk kitaran jualan pantas antara satu hingga tujuh hari berbanding enam hingga 24 bulan secara tradisi, peningkatan jualan aset sehingga 20 transaksi sebulan, pemulihan nilai lebih tinggi dengan pulangan 20 hingga 30 peratus lebih baik, serta pengesahan jejak karbon bagi setiap transaksi.

Ketua Pegawai Eksekutif Advancecon, Datuk Phum Ang Kia, berkata kerjasama itu membolehkan kumpulan membuka kunci nilai tersembunyi daripada aset terbiar sambil menyumbang kepada pembangunan mampan.

“Langkah ini menyelaraskan amalan perniagaan kami dengan matlamat kemampanan global dan menyumbang kepada perubahan positif jangka panjang untuk komuniti serta alam sekitar,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif SurplusLoop, Sereen Teoh, pula menegaskan komitmen Advancecon membuktikan bagaimana peneraju industri boleh menggunakan teknologi untuk mempercepatkan peralihan kepada ekonomi mampan, sekali gus menetapkan standard baharu dalam pengurusan aset lebihan di Asia.

Kerjasama ini menggariskan agenda transformasi Advancecon untuk mengukuhkan kedudukan sebagai syarikat yang berdaya saing dan mampan, sementara SurplusLoop pula muncul sebagai peneraju inovasi dalam pengurusan aset industri.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *