SHAH ALAM – Cadangan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat agar tindakan undang-undang dikenakan terhadap pengadu atau mangsa sekiranya terbukti perbuatan seks bawah umur dilakukan secara suka sama suka, perlu difahami dengan adil dan rasional.
Peguambela & Peguamcara, Nik Saiful Adli Burhan berkata, ia juga perlu berpandukan kepada realiti sebenar kes rogol bawah umur yang dibicarakan di mahkamah.
Hakikatnya, kata beliau, berdasarkan pengalaman sebagai pengamal undang-undang jenayah lebih satu dekad, benarlah boleh dikatakan kebanyakan kes rogol bawah umur bermula daripada hubungan seks suka sama suka antara pasangan remaja.
“Kebanyakan kes bukanlah berpunca daripada aduan mangsa sendiri, sebaliknya dilaporkan oleh ibu bapa dan keluarga setelah ‘kantoi’ melakukan hubungan seks atau dikesan melalui laporan pihak hospital apabila berlaku kehamilan.
“Oleh itu, cadangan Ketua Polis Kelantan bukanlah sesuatu yang mengejutkan bagi kami yang biasa mengendalikan kes sebegini di mahkamah.
“Masyarakat perlu memahami bahawa istilah “rogol” dalam banyak kes bukanlah rogol yang melibatkan serangan ganas atau paksaan, sebaliknya ia ditafsirkan sebagai “rogol statutori” (statutory rape),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan Mohd Yusoff dilaporkan mencadangkan supaya gadis yang terlibat dalam kes rogol statutori turut didakwa bersama lelaki dewasa yang menjadi pelaku.
Dia berhujah agar cadangannya dipertimbangkan dengan menyatakan hampir 90 peratus kes rogol statutori berlaku secara suka sama suka berdasarkan hasil siasatan.
Sekarang ini undang-undang sedia ada lebih menjurus kepada pendakwaan terhadap lelaki sahaja, sedangkan siasatan mendapati banyak kes kedua-dua pihak sama-sama rela.
Menurut Nik Saiful Adli, berdasarkan undang-undang, seorang perempuan yang berusia di bawah umur tertentu dianggap sebagai mangsa walaupun dia sendiri memberi kerelaan.
Ujarnya, dua undang-undang utama yang terpakai ialah Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan yang meletakkan had umur bawah 16 tahun, dan Seksyen 2(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang menetapkan had umur bawah 18 tahun.
“Dalam keadaan ini, walaupun polis mengetahui sesuatu kes berlaku secara suka sama suka antara pasangan kekasih, mereka tidak mempunyai kebebasan untuk mempertimbangkan kerelaan mangsa.
“Ini kerana undang-undang sedia ada secara total menolak apa-apa pembelaan berkaitan kerelaan apabila mangsa berumur di bawah 16 tahun.
“Situasi ini menimbulkan dilema penguatkuasaan kerana undang-undang tidak memberi ruang budi bicara kepada polis mahupun mahkamah. Maka, sudah tiba masanya penggubal undang-undang menilai semula had umur rogol statutori berdasarkan realiti semasa,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Bertindak Peguam & Intelek Kelantan berkata, perempuan di Malaysia lazimnya mencapai akil baligh seawal umur 10 tahun dan pada tahap itu ramai yang sudah mampu berfikir secara matang.
“Tidak masuk akal apabila seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang cukup akal untuk menimbang baik buruk perbuatannya tetap dianggap mangsa secara mutlak dan automatik oleh undang-undang.
“Justeru, cadangan Ketua Polis Kelantan agar mangsa turut dikenakan tindakan jika terbukti rela perlu dilihat dari sudut ini.
“Sebagai alternatif, undang-undang sepatutnya mengasingkan kes rogol yang berlaku secara rela dengan kes yang melibatkan paksaan,” kata beliau.
Kata Nik Saiful Adli lagi, had umur rogol statutori juga wajar dipertimbangkan untuk diturunkan kepada 14 tahun, agar lebih realistik dengan tahap kematangan remaja hari ini.
“Sama seperti kebolehterimaan saksi kanak-kanak di mahkamah, tahap kematangan seseorang mangsa bawah umur sepatutnya dinilai oleh hakim, bukan ditentukan semata-mata oleh angka umur.
“Saya turut berpandangan, penyelesaian masalah ini tidak boleh dicapai hanya dengan menghukum lelaki yang dituduh rogol. Jika terbukti perbuatan itu berlaku secara rela, kedua-dua pihak wajar diambil tindakan oleh pihak berkuasa agama melalui Mahkamah Syariah di bawah kesalahan zina.
“Kerjasama lebih erat perlu diwujudkan antara polis dan Jabatan Agama Islam Negeri agar kes yang tidak dapat didakwa sebagai rogol masih boleh dibawa ke muka pengadilan syariah sebagai pengajaran bukan sahaja untuk pesalah tetapi untuk masyarakat,” katanya yang juga Peguam Syarie Kelantan.
Beliau menegaskan, apa jua pindaan undang-undang yang dicadangkan mestilah berteraskan tujuan utama undang-undang itu sendiri, iaitu untuk mendidik, mengawal dan memastikan kesejahteraan masyarakat.
Undang-undang, katanya, tidak boleh dilihat hanya sebagai alat menghukum, sebaliknya sebagai mekanisme mendidik masyarakat agar lebih bertanggungjawab dalam menjaga maruah diri dan kesejahteraan umum.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001