PUTRAJAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad menafikan dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggambarkan seolah anak beliau memiliki kekayaan luar biasa hasil penyelewengan dana kerajaan.
Menurut mantan Perdana Menteri itu, kenyataan yang sering diulang oleh Anwar bahawa anaknya termasuk dalam golongan maha kaya dengan aset mencecah RM1.2 bilion adalah tidak berasaskan fakta sebenar.
“Anwar masih cuba gambarkan anak saya adalah bilionair kerana kononnya memiliki aset bernilai RM1.2 bilion. Tetapi angka ini tidak betul. Jumlah yang disebut itu sebenarnya merujuk kepada dua orang anak saya – Mirzan dan Mokhzani – bukan seorang dan jumlah aset sebenar mereka bukanlah RM1.2 bilion,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik hari ini.
Dr. Mahathir menjelaskan, berdasarkan maklumat rasmi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), nilai harta kekayaan kedua-dua anaknya jauh lebih rendah daripada angka yang sering dinyatakan Anwar.
“SPRM telah mengesahkan Mirzan memiliki kekayaan sebanyak RM120 juta, manakala Mokhzani pula RM316 juta. Jika dicampur, jumlah keseluruhan adalah RM436 juta.
“Jadi, dari mana datang angka RM1.2 bilion yang disebut berkali-kali oleh Anwar?” soal beliau.
Beliau turut membidas tuduhan anaknya memperolehi kekayaan tersebut melalui penyelewengan atau dengan menyalahgunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri.
“Kononnya mereka termasuk dalam kalangan ‘maha kaya’ yang disindir mendapat kekayaan kerana sakau duit kerajaan. Apa bukti mereka telah sakau duit kerajaan? Kenyataan SPRM tidak menyebut perkara ini. Apakah bukti yang saya tolong mereka sakau duit kerajaan?” tegasnya.
Dr. Mahathir turut mendedahkan, beliau telah mengambil tindakan undang-undang terhadap Perdana Menteri atas dakwaan fitnah yang sama, namun mendakwa Anwar belum mengemukakan sebarang bukti sehingga kini.
“Saya telah saman fitnah terhadap Anwar. Sudah sampai dua tahun, Anwar masih tidak tunjuk bukti. Tetapi Anwar masih mengulangi sindiran bahawa saya antara pemimpin tinggi yang sakau berbilion ringgit duit kerajaan,” katanya lagi.
Beliau turut menyentuh kenyataan Anwar yang menggesanya menggunakan kekayaan untuk membantu orang Melayu miskin, sambil menyifatkan kenyataan itu sebagai satu bentuk sindiran tidak berasas.
“Mungkin Anwar tahu di mana duit berbilion itu berada. Saya sendiri tidak tahu. Jika Anwar boleh bagi maklumat di mana berada duit yang saya sakau ini, saya berjanji akan beri semua 100 peratus kepada orang miskin,” kata Dr Mahathir.
Sebagai respons kepada dakwaan itu, Dr. Mahathir membuat satu ikrar terbuka, sekiranya terdapat bukti kewujudan dana yang dikaitkan dengannya, beliau bersedia menyerahkan kesemua wang tersebut kepada golongan yang memerlukan.
“Ini ikrar saya, dan saya sanggup jamin akan tunaikan janji ini,” ujarnya tegas.
Dr. Mahathir turut menyimpulkan kenyataan beliau dengan satu sindiran tajam terhadap Anwar, dengan menyatakan, jika tiada bukti dikemukakan, maka Perdana Menteri telah berbohong kepada rakyat.
“Jika tidak, Anwar bila buka mulut – bohong,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001