PVATM kesan 39 kubur perajurit negara terkorban lawan komunis

JERTIH – Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) mengesan sebanyak 39 kubur anggota tentera yang terbunuh dalam pertempuran menentang komunis di seluruh negara menerusi program Jejak Pusara Pahlawan (JPP), sejak dilancarkan pada 2019.

Presiden PVATM, Kapten (B) Datuk Saharudin Omar berkata bagaimanapun, pihaknya sedang menjejak sejumlah besar lagi pusara perajurit negara yang terkorban ketika melawan musuh negara sejak 1948 hingga 1989.

“Berdasarkan catatan sejarah, sebanyak 1,529 anggota pasukan keselamatan negara terbunuh dalam tempoh darurat pertama dan kedua termasuk anggota polis, namun ketiadaan maklumat lengkap mengenai anggota terbabit, khususnya yang membabitkan anggota tentera menimbulkan sedikit kesukaran kepada pihak kami untuk mengesannya.

“Program JPP ini bertujuan menghargai pengorbanan anggota terbabit yang terbunuh ketika bertempur dengan pengganas komunis, jadi kubur pejuang yang dikenal pasti kami naik taraf seperti tukar batu nisan baharu, pasang pagar besi tahan karat dan letak papan tanda,” katanya kepada Bernama selepas menziarahi pusara Allahyarham Renjer Wan Hassan Idris di Tanah Perkuburan Islam Tok Gong, Kampung Baharu, di sini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Husaimi Hussin yang mempunyai pertalian darah dengan Allahyarham Wan Hassan.

Saharudin berkata, terdapat kubur pejuang yang sebelum ini dalam keadaan kurang sempurna, selain masyarakat sekitar tidak mengetahui adanya kubur pahlawan negara yang menentang pengganas komunis disemadikan di kampung mereka.

“Ramai juga perajurit negara yang terkorban, tetapi tidak memperoleh pingat keberanian, jadi langkah ini antara penghargaan yang mampu dilakukan PVATM selain memberikan gambaran kepada masyarakat setempat, khususnya golongan muda supaya mereka tahu bahawa nikmat kehidupan hari ini ialah hasil pengorbanan pejuang yang terkorban. Malah, kubur pejuang itu ada di kampung mereka,” katanya.

Terdahulu, Saharudin turut menziarahi pusara seorang lagi pejuang kemerdekaan, Allahyarham Koperal Salleh Embong di Tanah Perkuburan Islam Kampung Air Tawar, di sini.

Beliau berkata, di Terengganu, PVATM setakat ini sudah mengenal pasti dua kubur pejuang negara yang terkorban ketika bertempur, iaitu Allahyarham Wan Hassan dan Allahyarham Salleh.

“Kedua-dua mereka daripada Batalion Ketujuh Rejimen Renjer Diraja (RRD) terbunuh dalam kejadian serangan hendap oleh pengganas Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) di Jalan Lundu–Biawak, Sarawak pada 26 Mac 1972 yang turut mengorbankan 13 anggota yang lain,” katanya.

Sehubungan itu, bagi menjayakan program JPP, beliau meminta waris kepada pejuang yang terkorban ketika bertempur menyalurkan maklumat kepada PVATM untuk tindakan selanjutnya. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *