Sekitar Bengkel Penulisan Skrip Teater Sesi Kedua di Cita Jaya

Oleh: Kassim Muhamad

BENGKEL Penulisan Skrip Teater (BPST) sesi kedua di Kampung Cita Jaya, Tanah Merah, Kelantan pada 14 September hingga 16 September lalu adalah lanjutan kepada BPST pertama yang diadakan di Kampung Permata, Kundang, Selangor dari 1 hingga 3 Ogos 2025.

Seperti BPST yang pertama, tujuan bengkel ialah menggembeling penglibatan peminat-penulis-aktivis teater untuk menghasilkan sebuah antologi teater dengan memanfaatkan sepenuhnya ilmu, pengalaman dan kepakaran Datuk Dinsman, Presiden Pertubuhan Karyawan Seniman Malaysia (PAKSI) sebagai guru, pembimbing dan pakar rujuk teater.  

Enam peserta yang terlibat ialah Cikgu Jamly Bahruldin, Puan Shariffah Khadijah Al Jufri, Puan Sharifah Naina Muhamad, Manzaidi Mohd Amin, Razak Khalek dan Kassim Muhamad.

BPST yang kedua memberikan fokus kepada tiga buah draf skrip yang telah dihasilkan oleh Manzaidi (Puteri Saadong), Kassim (Apa kabar Pak Sastro) dan Puan Shariffah Khadijah (Oh Siti, Kenapakah Siti!).

Ada sesuatu yang menarik dengan skrip Puan Shariffah Khadijah – ia lahir dari monolog spontan beliau semasa PAKSI berbengkel di Kampung Permata, Kundang, bukan dari skrip yang ditulis lebih awal!

BPST dirancang mengandungi tiga elemen penting iaitu:

Persediaan draf skrip teater sebelum bengkel;

Pembentangan, perbincangan dan ulasan semasa bengkel; dan

Lakonan fragmen karya yang dihasilkan semasa bengkel.

Persediaan draf skrip teater bertujuan supaya setiap peserta membuat tugasan awal berbentuk ‘kerja rumah’ sebelum menghadiri bengkel.

Dengan membuat kerja rumah ini, para peserta telahpun bersedia dengan tema, plot, watak, latar dan aspek-aspek lain seperti unsur-unsur dramatik sesebuah skrip teater yang dihasilkan, sebelum menghadiri bengkel.

Tugasan yang disediakan itu hendaklah dikemukakan setiap peserta kepada pembimbing untuk semakan dan tindakan lanjut.

Semoga pendekatan ini akan memantapkan proses berbengkel kerana peserta telahpun siap untuk membentangkan draf skrip masing-masing. Sekiranya proses ini tidak diwujudkan, ini bermakna proses ini hanya berlaku semasa bengkel bermula.

Sesi BPST bermula dengan syarahan ringkas ‘berbobot’ aspek-aspek penting teater oleh pembimbing, Dinsman. Syarahan ringkas ini akan dimasukkan sebagai sebahagian lampiran antologi yang bakal dihasilkan kelak.

Semoga ia dapat dimanfaatkan sebagai rujukan oleh pelajar dan para peminat teater.

Kaedah dan strategi BPST ialah usaha yang bersungguh-sungguh agar hasil bengkel iaitu antologi yang diidam-idamkan menjadi kenyataan.

PAKSI percaya segala jerih payah berbengkel tidak wajar ‘tamat’ sebaik saja tamatnya bengkel. Produknya mesti lahir ke alam nyata. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *