PETALING JAYA – Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor sudah meluluskan senarai individu yang akan menganggotai jawatankuasa panel bebas bagi menyemak laporan siasatan insiden letupan saluran gas bawah tanah di Putra Heights, Subang Jaya, April lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata panel bebas itu akan dibarisi lapan individu, termasuk dua wakil pembangkang negeri ini.
Beliau berkata, panel berkenaan akan menyemak dan menilai laporan teknikal yang dikeluarkan pihak polis, bomba serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sebelum ini.
“Kebanyakan mereka adalah golongan profesional yang mempunyai kelayakan ikhtisas dalam pelbagai bidang, antaranya pembuat dasar hinggalah kepada (bidang khusus) cerun, bukit serta bidang minyak dan gas.
“Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin) akan berjumpa dengan mereka dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau status bina semula dan baik pulih rumah mangsa letupan saluran gas Putra Heights di Taman Putra Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru, hari ini.
Berhubung status bina semula dan baik pulih kediaman mangsa pula, Amirudin berkata, sebanyak 79 unit rumah di Taman Putra Harmoni dikenal pasti dibangunkan semula bawah kelolaan Sime Darby Property.
Daripada jumlah itu, beliau berkata, hanya 49 pemilik atau penghuni bersetuju untuk kerja-kerja itu digerakkan, manakala bakinya tidak bersetuju kerja bina semula dan baik pulih dilaksanakan.
Pada masa sama, katanya, sebanyak 120 unit rumah yang mengalami kerosakan sederhana, sedang dibaik pulih.
Daripada jumlah itu, 86 unit rumah membuat tuntutan berjumlah RM3.9 juta dengan 61 unit telah dilunaskan bayaran tuntutan.
Bagi Kampung Kuala Sungai Baru pula, Amirudin memaklumkan, proses baik pulih serta bina baharu dikelolakan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
Beliau berkata, 11 unit dikenal pasti perlu dibina semula dengan tiga daripadanya sudah siap, manakala baki dijangka selesai pada penghujung Oktober depan.
“Selain itu, pemunya 63 unit rumah membuat tuntutan kos baik pulih bernilai RM1.7 juta, dan bayaran telah dilakukan kepada 50 pemunya rumah,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001